Monday, 30 December 2013

Melangkah ke alam persekolahan... Ibubapa dan anak, siapa lebih teruja?

Lebih sebulan, jalan yang saya lalui untuk pergi dan pulang dari tempat kerja, kelihatan kosong dan sepi tanpa sebarang kesibukan anak-anak ke sekolah. Pagi ini, situasi rutin itu telah kembali tetapi tidak sesibuk selalunya. Kelihatan si comel yang bakal memulakan langkah ke alam persekolahan dengan pakaian sekolah serba baru dan anak-anak yang meningkat remaja memulakan langkah ke persekolahan menengah ditemani waris masing-masing. 
Saya tidak pasti apa namanya hari ini tetapi ianya lebih kepada sesi orientasi sebelum memulakan persekolahan secara rasminya pada 1 Januari 2014. Kelihatan bersemangat sekali anak-anak ini. Semoga setiap langkah mereka untuk mencari ilmu akan diberkati dan menjadikan mereka manusia yang berguna di dunia dan akhirat.
Saya belum melalui pengalaman ini walaupun puteri sulung saya bakal melangkah ke darjah 3, rabu ini. Dia memulakan darjah satunya lewat dua bulan dari rakan-rakan sekelasnya iaitu pada 1 Mac 2012, 3 hari selepas ketibaan kami sekeluarga di tanahair. Jetlag pun belum hilang, dia sudah bersemangat untuk bersekolah di Malaysia. Segala urusan pendaftaran dan dokumen yang berkaitan dengannya saya buat lebih awal iaitu semasa berada di luarnegara dan dibantu dengan kakak saya yang berada di Malaysia. Ini bagi memastikan puteri saya tidak menunggu lama apabila tiba di tanahair. 
Alhamdulillah, dia  dapat memulakan persekolahan  seperti yang dirancang dan dengan izin Allah juga, dia cepat menyesuaikan diri dengan situasi sekolah baru yang nyata berbeza dengan dunia persekolahannya sebelum ini. Jadi, bila melihatkan situasi tadi, saya menjadi tidak sabar dan teruja untuk melihat puteri kedua saya melangkah dan bersemangat dengan uniform sekolah rendah. Puteri kedua saya tidak mahukan baju nursery, dia mahu kelihatan seperti kakaknya. Jadi, dalam usaha memujuk saya belikan 2 pasang kasut sekolah untuknya, kiki lala dan bbg sama seperti kakaknya. InsyaAllah, Januari 2015, jika tiada aral, saya mahu mengiringinya memulakan sesi persekolahan.
Pada saya... anak dan ibu sama-sama teruja. Saya pasti suami juga teruja, cuma tidak secara terang-terangan. Kalau tak, takkan asyik  google keperluan sekolah  dan sibuk memilih kasut yang sesuai dan selesa untuk puteri-puterinya :)

Thursday, 26 December 2013

Siri Jejak, Eksplorasi & Pandangan : Januari 2014

Sudah lama saya menyimpan impian untuk mengabadikan pengalaman berada di satu-satu tempat dan memberi pandangan peribadi saya di laman maya ini, samaada di dalam atau di luarnegara. Namun, di atas beberapa komitmen yang lebih penting, hasrat dan impian itu sekadar menjadi angan-angan sahaja. Aktiviti menulis di fotopages dan blog kemudiannya juga terpaksa dihentikan. Sukar bagi saya untuk mengorek kembali semua gambar-gambar yang tersimpan sambil mengingati kembali kisah ketika itu. Pastinya ia mengambil masa. 

Jadi,  bersempena Tahun Melawat Malaysia 2014,  bermula Januari nanti, saya akan memulakan dahulu Siri Jejak, Eksplorasi & Pandangan dengan destinasi terkini.  Saya anggapkan penulisan ini sebagai kenangan generasi saya. Dan jika ada manfaatnya, mungkin sebagai panduan kepada semua yang membaca blog ini. Tetapi, saya adalah 'family type', ke sana-sini tidak pernah berseorangan. Jadi lebih kepada panduan perjalanan berkeluarga. Untuk adik-adik bujang saya, mungkin boleh diubahsuai mengikut keselesaan sendiri :)

Saya mengalu-alukan sebarang cadangan destinasi menarik di dalam Malaysia untuk di'email'kan kepada saya di mrslavenderdaisy@gmail.com
In shaa Allah, saya & keluarga akan ke sana suatu hari nanti.  Cadangan anda pastinya sangat saya hargai. Terima kasih





Semangat Diri : Jangan Berputus Asa

#5  : Buat seorang adik


Tuesday, 24 December 2013

Semangat Diri : Bacalah

#3 : Buat seorang adik

Al- Ma'thurat- Surah Yaasin - Doa
Bersyukur Saat Diuji
Tuhan Sedang Menguji Kita
La Tahzan - Dont Be Sad - Jangan Bersedih


Monday, 23 December 2013

Semangat Diri : Jentayu

#2 : Buat seorang adik


Serangkap lagu jentayu buatmu...
Jangan Mengalah.....Teruskan perjuangan...

Jentayu...Patah sayap bertongkat paruh
Jentayu...Patah paruh bertongkat siku
Jentayu...Patah siku bertongkat dagu
Jentayu...Patah dagu bertongkat kuku
Pinjamkanlah hatimu
Untuk semua
Sumber Lirik


Sunday, 22 December 2013

Semangat Diri: Fikirkan Boleh

#1 : Buat seorang adik

Menangislah jika ia mampu meredakan bebanan perasaan
Bertenanglah untuk membina semula keyakinan
Berusahalah dengan iringan doa dan harapan
Jangan sesekali hilang semangat perjuangan




Thursday, 19 December 2013

FROZEN : Antara Ketawa dan Airmata

Sebenarnya ni aktiviti keluarga yang dah dekat tiga minggu berlalu...Tiket 30 November 2013. Kan! Baru sempat nak buat entry. Biasanya menonton wayang dan bermain boling dilakukan secara pakej. Jika masa tayangan lambat lagi, kami bermain boling dahulu. Jika dah kesuntukan masa, tengok wayang dahulu.

 Ini bukanlah aktiviti rutin kami berempat.  Sekadar memanfaatkan masa berkualiti bersama. Secara dasarnya..kunjungan adalah mengikut kesesuaian cerita dengan puteri-puteri saya sahaja. Biasanya kena survey dulu waktu tayangan. Untuk dapatkan tempat duduk paling sesuai ....di tengah-tengah. Di JM ni, kedudukan E7, E8, E9, E10 atau F7, F8, F9 dan F10 saya rasakan paling strategik. Betul-betul mengadap skrin. Masa tayangan pertama untuk hari itu juga memainkan peranan bagi mengelakkan kesesakan.

Secara ringkasnya, cerita ini sungguh menarik. Babak-babak lucu disusuli dengan ketawa penonton yang rata-ratanya di usia puteri-puteri saya. Ibubapa tumpang juga. Tapi bila tiba saat-saat yang menyedihkan, suasana menjadi suram seketika. Di dalam kegelapan airmata saya berjujuran. Sedihnya....

 

FROZEN
FROZEN mengisahkan 2 beradik Puteri Anna dan Permaisuri Elsa. Betapa cinta sejati antara kedua-duanya akhirnya melumpuhkan sihir yang dimiliki si kakak. Sememangnya emosi turun naik. Lagu-lagu pun sedap didengar. Kalau versi Bahasa... terserlah kehebatan Marsha menyanyikan lagu BEBASKAN.
Good Job Marsha.
Cerita yang sungguh menarik, puteri-puteri saya begitu teruja dan gembira. 
Memang rasa nak tengok lagi... Versi Inggeris pula.
Sesiapa yang belum berkesempatan, bawalah pasangan dan putera puteri bersama. Mesti terhibur.

Tuesday, 17 December 2013

Kehebatan Jagung Mutiara Cameron Highland

Saya pasti, jika sebut sahaja jagung mutiara, semua sudah terbayang-bayang Cameron Highland. Sepanjang pembacaan saya di blog-blog pun, ramai yang menceritakan tentang betapa ruginya jika ke CH tanpa merasai jagung mutiara ini. Begitulah Kehebatan Jagung Mutiara Cameron Highland. Alhamdulillah, saya dan keluarga dapat menikmati keenakan jagung mutiara ini... Kedua-dua versi, rebus dan bakar yang dibeli di Pasar Malam Brinchang. Cukup puas hati. Memang hebat!
Tak cukup dengan itu, dalam perjalanan pulang, saya membeli jagung mutiara segar ini. Cumanya saiznya sedikit kecil dari yang saya makan. Ke saya salah tempat membelinya? Erm...


Nota: Orang kata kalau menanam jagung tidak boleh bercakap. Nanti isinya jarang.  Siapa pernah cuba angkat tangan :)

Tuesday, 10 December 2013

Mengumpul Keratan Akhbar Sebagai Hobi

Di zaman kanak-kanak, hobi saya adalah mengumpul keratan akhbar tentang perkara-perkara yang menarik minat saya ketika itu. Dari cerita semasa, kartun, puisi, lirik lagu sehinggalah gambar pelakon (Faizal Hussein) dan pemain bola sepak Kedah (Abbas Saad dan Nizam Adzha). Semua keratan ini saya simpan di dalam fail dan  album gambar. Aktiviti saya ini bermula apabila Ayahanda saya melanggan suratkhabar harian setiap hari dengan bayaran bulanan. Setiap hari, Uncle Maniam akan membaling gulungan suratkhabar ke beranda rumah. Sebenarnya, adalah menjadi satu kemestian untuk saya setiap kali balik sekolah untuk membelek suratkhabar walaupun saya tidak faham sangat isu-isu semasa. Saya mula meninggalkan hobi ini apabila diterima masuk ke sekolah menengah berasrama.
Semasa mengemas 'koleksi' suratkhabar di bilik bacaan semalam, saya terjumpa fakta di bawah dan saya terus mengguntingnya. Menarik kan?
 Ermm... terfikir juga, perlu atau tidak saya sambung kembali hobi ini...Kalau pun ada episod seterusnya, topik keratan akhbar pasti akan sedikit berbeza, sejajar dengan pertambahan usia dan situasi semasa.


Monday, 2 December 2013

Makan Tengahari di Hello Burger

Menu makan tengahari yang dipilih kali ini adalah burger. Sengaja mengubah selera bersama rakan sekerja. Roti Burger berwarna hitam ini dipanggil Bamboo Charcoal (kalau tak salah). Ada macam-macam pilihan untuk diletakkan di antaranya. Saya pilih Hawaiaan beserta salad. Bila makan di sini, sungguh! Ia mengingatkan saya tentang Lunch Date di Baguette Express dengan menu Baked Potatoes.

Set yang saya pilih. Ada burger, ada kentang goreng dan air minuman. Boleh juga kalau nak minuman bergas.


Susunatur di dalam restoran Hello Burger. Mungkin hari bekerja, tak ramai pelanggan ketika saya tiba. Servis pun cepat.

  Kaunter untuk memilih dan membayar.



Tuesday, 26 November 2013

Teh Ais, Teh O Ais, Laici dan Sirap

Walaupun nampak kesemua minuman yang dipesan adalah berbeza, dalam erti kata warna dan rasa, sebenarnya ada yang palingggggg tidak sama. Seperti biasa, pengaruh suami tidak terbatas kepada isteri sahaja, turut menurun ke puteri-puteri kesayangan. 
Puteri-puteri saya tidak sukakan minuman bersusu yang menggunakan susu di dalam tin. Sama seperti suami. Jika ada pesanan air bersusu, itu adalah air saya. Puteri-puteri ini juga tidak sukakan makanan lembik seperti bubur dan pengat. Kalau saya nak makan, biasanya bonda atau bonda mertua akan buatkan. Untung juga, lagi sedap dan menyelerakan dari buat sendiri  kan!





Monday, 25 November 2013

Projek Dusun Durian

Ini adalah aktiviti terkini puteri-puteri kesayangan saya. Aktiviti yang dimulakan dengan  membeli durian di pasar malam bertukar menjadi Projek Dusun Durian. Sebenarnya sejak berpindah, rumah baru ini agak kosong. Tanpa pokok bunga, tanpa tanaman. Kesibukan memunggah dan menyusun barang sahaja sudah mengambil masa yang lama. Hanya baru-baru ini saya dan keluarga berpeluang untuk memulakan aktiviti luar rumah. Jadi, pantang melewati mana-mana nursery, memang ada-ada saja yang nak dibeli. Ada beberapa pasu yang belum berisi, puteri-puteri saya gunakan untuk menyemai biji durian. Alhamdulillah, perkembangan yang memberangsangkan. Cuma, itulah... Dusun Durian di dalam pasu bunga. Hari-hari disiram puteri kecil saya. Dua tiga kali juga pasu ini terpaksa dinaikkan tarafnya untuk mengelakkan kebanjiran air.
Apapun, In shaa Allah, ianya akan dipindahkan ke tanah dusun Bonda dalam waktu terdekat. Lepas ni, ada harapan, setiap hujung minggu, mesti nak balik kampung menyiram pokok durian.



Friday, 22 November 2013

Tapai Pulut Changlun

Saya dapat rasakan pengaruh suami begitu kuat terhadap saya terutamanya soal makanan.Yang terkini adalah tapai pulut. Berbanding suami yang sukakan tapai pulut putih, saya pula sukakan tapai pulut hitam. Kena lagi yang dibungkus dengan daun getah dan dimakan bersama kelapa parut muda. Sedapnya!
 Tapi, suka saya bukan bermakna makan hari-hari, cumanya kalau berjumpa, mesti saya beli. Yang terkini saya beli di Changlun. 





Thursday, 21 November 2013

Sahabat Selamanya

Sebak hati saya tatkala menonton keakraban Sahabat Selamanya di pentas akhir AF 2013. Saya tidak pernah mengikuti siri-siri AF secara konsisten dan sewajarnya saya tidak dapat bercerita lanjut mengenainya. Saya menonton sambil meng'iron' stok baju kerja tanpa fokus seratus peratus. 

Tiba-tiba muncul babak syahdu Johan dan Zizan. Alahai, hati tisu saya begitu mudah tersentuh. Berderai airmata melihat pelukan erat dua sahabat. Sebenarnya, akhir-akhir ini, saya banyak terdedah kepada kisah sahabat. Bagaimana Jep tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada Shuib (Super Spontan 2013) dan keserasian Yus & Tauke yang dipaparkan di dalam Sembang Teh Tarik AC Mizal. Saya cuma berdoa semoga ikatan persahabatan mereka kekal sampai bila-bila.

 Justeru itu, saya mengambil kesempatan ini untuk dedikasikan entry Sahabat Selamanya  ini untuk sahabat sejati saya, Lina dan Zana yang setia bersama saya selama lebih dua dekad. Walaupun kini, masing-masing berada di haluan yang berbeza, kami tetap akrab. Keakraban yang tidak pernah berakhir. 

Alhamdulillah, mereka setia bersama saya di masa-masa yang sukar dan pastinya mereka berhak meraikan kegembiraan saya juga. Semoga Allah memberi kebahagiaan yang berpanjangan buat mereka.
Terima kasih kerana menjadi sahabat saya!


Nota: Sesungguhnya jarak bukan pemisah.  Hanya ikatan yang tulus ikhlas akan kekal selamanya.


Monday, 4 November 2013

Cerita Hujung Minggu : TAHNIAH!!!


Tahniah Jep!

Tahniah Pahang!

TAHNIAH! TAHNIAH! TAHNIAH! untuk puteri sulung yang telah berjaya dengan cemerlang di dalam Grading Taekwondo! Alhamdulillah.

Nota: Tahniah buat suami juga...penyokong tegar Pahang & Liverpool.  





Saturday, 2 November 2013

Kisah Cuci @ Basuh Kereta

Seminggu dua ini hujan turun tidak berhenti. Agaknya musim tengkujuh telah bermula. Bila sebut pasal hujan, terus terlintas tentang kereta saya. Saya ada kedai cuci @ basuh  kereta (snow wash) yang saya suka. Ini kerana ada perkara-perkara tertentu yang saya fikirkan, yang menyumbang kepada pemilihan tempat mencuci kereta tersebut. Tapi yang utama, saya tidak berapa gemarkan cermin kereta dilapkan dengan tuala. Bulu-bulu tuala akan melekat di cermin sementara menunggu kering. 

Biasanya saya akan menelefon terlebih dahulu. Kalau orang tidak ramai, baru saya hantarkan kereta....Di tengah-tengah minggu.  Saya tidak sanggup menunggu lama. Seboleh-bolehnya saya elakkan masa hujung minggu. Bukan apa, saya perhatikan, jika sesuatu kedai itu memberi perkhidmatan yang baik, orang pasti tidak kisah untuk menunggu lama. Cuma saya sahaja yang tidak mampu begitu. Jadi saya cuba alternatif lain yang lebih sesuai dengan saya. Jika deretan kereta menunggu giliran di hari jumaat, sabtu dan ahad terlalu panjang, saya hantar kereta setiap hari selasa atau rabu.

                              

Terkini, kasihan kereta saya. Sudah 2 minggu asyik mandi lumpur. Walaupun keadaan dalamannya masih elok, tetapi luarannya, alahaiii. Sedih melihatnya. Tidak pernah sebegitu lama ia tidak bermandi buih. Jadi petang rabu lepas saya menghantarnya ke kedai. Serba salah adik tu. Sebaik sahaja selesai kereta dicuci, hujan turun lebat dengan lebatnya. Saya tengok habis becak di kawasan kedai. Memandangkan sudah lewat petang, saya bawa juga kereta balik, tapi  petang semalam dia telefon....

Akak, minggu depan saya cuci kereta akak... free. 
Kesian akak, belum keluar dari kedai saya, dah berlumpur kereta akak.
Alahaiii dik.. akak tak kisah lah. Dah musim hujan kan!


Nota: Saya sukakan pemandangan selepas hujan. Di blog dan fotopages saya terdahulu saya buat dua tiga kali entry tentangnya. Kenangan mengusik jiwa!


Friday, 1 November 2013

Episod Akhir, Minggu Akhir, Siri Akhir, Musim Akhir, Perlawanan Akhir

Final fever atau demam minggu akhir semakin berleluasa dikeliling saya. Di tempat kerja, topik bualan adalah kisah  drama rantaian yang berada di minggu @ episod akhir. Kisah Kampung Girl, Jodoh Itu Milik Kita dan yang terkini, super hangat adalah Love You Mr Arrogant. Ketinggalan kapalterbang betul saya ni.

Sebenarnya saya tidak gemar menonton cerita berepisod atau bersiri. Saya bimbang saya tidak sabar menanti episod berikutnya. Lagipun saya tidak mahu aktiviti dan masa saya terikat. Biasanya bila ada cerita-cerita di tempat kerja, barulah saya tahu, oooooo ada cerita menarik ketika ini. Tetapi ketika itu .....mungkin, drama rantaian/bersiri tersebut sudah pun menghampiri penghujungnya. Yang boleh direkod, saya rekodkan. Semasa meng'iron' baju setiap hari ahad, baru saya menontonnya. Ok lah kan...boleh FF...jadi tak ada iklan.

Malam ni Super Spontan  2013 Akhir yang berlangsung di Dewan Kenangan SP. Saya tengok baru 3 kali. Itupun sebab temankan suami. Alih-alih, Laaaa dah akhir???  Apa-apapun:
Vote for JJ, Jep & Johan 

Hari Ahad nanti (ehhhh.. ahad kan?.. janganlah tersilap..) Saya dah janji dengan suami nak temankan tengok perlawanan akhir, Pahang Vs Kelantan walaupun saya bukan faham sangat tentang bolasepak. Sekadar jadi teman habiskan kacang bolehlah. Bukan apa...Senanglah saya nak ajak ke mana-mana nanti. 
What you give you get back ..... begitulah kaedahnya :)

Nota: Semasa saya belum berkahwin, ada seorang akak tempat kerja saya cakap. Kalau kita tidak menunjukkan rasa boring waktu temankan pasangan kita membuat aktiviti kesukaannya, nanti pasangan kita pasti pikir seribu kali nak cakap boring semasa temankan kita membuat aktiviti kesukaan kita. Ya...Memang betul pun.....

Tuesday, 29 October 2013

Durian Crepe Yang Sedap Dari Utara (Jitra/Kepala Batas)

Alhamdulillah, inilah durian crepe yang pertama kali saya rasa. Sedap dan montel-montel belaka. 
Kepada sesiapa yang berminat, boleh hubungi nombor telefon yang tertera. Facebook pun ada disertakan.
Lokasinya mudah sahaja. Kalau berada di Jitra/Kepala Batas cuma cari Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Anum Tunku Abdul Rahman yang terkenal sebagai Sekolah Sukan Negeri Kedah. 

Kalau dari  Pekan Jitra atau Lapangan Terbang Alor Setar memang tak susah nak cari sekolah ni. Pemilik Serbaa Serbiii ni tinggal di kawasan itu. Maaf, nama taman perumahan saya tak ingat.




Nota:  Terharunya saya... Jadi  saya nak ucapkan terima kasih sekali lagi untuk yang bagi info. Semoga Allah memberi kebaikan kepada anda juga.

Monday, 28 October 2013

Jom Bersihkan Rumah!

Tajuk entry kali ini ala-ala kempen kebersihan macam tu... kenapa ya?

Ini kerana entry terdahulu bertarikh 18 September 2013. Hari ini sudah pun memasuki hari ke 28 di dalam bulan Oktober. Lama betul rumah mrs lavender daisy terbiar kan!

Nampaknya bukan setakat berhabuk dan berdebu, malahan sarang labah-labah pun sudah memenuhi segenap ruang. Pastinya saya perlukan masa untuk membersihkannya. Orang Kedah cakap, pelan-pelan kayuh.

Sebenarnya banyak perkara yang berlaku  dan dilakukan sepanjang saya tidak menulis di sini. Sejujurnya rasa terkilan tetap ada kerana saya mahu momentum menulis ini berterusan sebagaimana entry saya yang pertama. Bila berhenti, saya tenggelam punca, tercari-cari dari mana saya hendak bermula semula.

Apapun saya memandangnya dari sudut yang positif. Dengan apa yang telah terjadi, Allah memberi banyak kebaikan kepada saya dan keluarga. Alhamdulillah.

InsyaAllah, saya akan terus menghidupkan rumah maya saya ini mengikut keupayaan. Semoga ada sedikit sebanyak manfaatnya kepada diri saya dan orang lain juga
.
Jom bersihkan rumah!


Nota: Syukur, ada rezeki saya untuk makan durian crepe setelah sekian lama mencari. Akhirnya ada juga yang tampil membantu. Terima kasih sangat-sangat. Nanti saya uploadkan gambarnya. 

Sunday, 15 September 2013

Kerusi Comel Untuk Aktiviti Santai Anak-anak

Petang tadi saya bersama suami dan anak-anak keluar mencari pasangan bagi kerusi jari merah ini. Kerusi yang dipanggil Si Merah ini milik anak kecil saya. Buat sementara, ianyanya ditempatkan di sudut tangga. Penempatan sementara sehingga pasangannya ditemui.

Sebenarnya, sebelum ini pasangannya berwarna ungu. Milik anak sulung saya. Tapi rezeki Si Ungu tidak lama bersama kami. Ianya patah riuk ketika kami berpindah rumah Februari lalu. 

Kesian kakak, sukar untuk mencari kerusi gantinya untuk warna yang sama. Puas juga mencari di semua kedai perabut di pekan sekitar kawasan rumah Bonda tapi, bukan rezeki. Tidak bertemu barang yang dicari. Yang ada hanya kerusi jari ungu versi dewasa. Kedai perabut tempat saya beli haritu pun tiada stok.

Saya akan usahakan untuk mencari pasangannya supaya saya dapat tempatkan kedua-duanya di bilik anak-anak saya secepat mungkin. Jika tidak, biarlah si merah terus di situ. Setia menanti pasangan barunya.


                                           

Nota: Kerusi ini tidak boleh dikongsi. Hanya muat-muat seorang kanak-kanak. Saya rasa konsep kerusi ini sesuai untuk aktiviti santai anak-anak samada membaca atau menonton tv. Saya sukakan rekabentuknya :)

Thursday, 12 September 2013

Di Mana Saya Boleh Dapatkan Durian Crepe Paling Sedap di Kawasan Utara?

Hari ini saya tangguhkan entry Thursday Tips bagi memberi laluan kepada DURIAN CREPE. Seikhlasnya, walaupun fenomena durian crepe sudah lama diperkatakan, tapi sehingga kini belum rezeki saya untuk merasainya. 

Misi pencarian saya masih berterusan walaupun sekejap tenggelam sekejap timbul. Semalam, di dalam kesesakan lalulintas pulang ke rumah, melalui tapak pasar malam, saya ternampak durian. Ingatan terhadap durian crepe datang kembali.  Selesai makan malam, sambil membantu sikecil saya melukis, saya terjumpa gambar ini di Amie's Little Kitchen. Lagilah membuatkan saya teringat-ingat.

Sumber : Klik Di Sini

Berdasarkan carian saya di internet, kebanyakan chef-chef dan penjual DURIAN CREPE berada di luar kawasan Utara. Saya meminta pertolongan, sesiapa yang tahu di mana boleh dapatkan DURIAN CREPE paling sedap di Kedah/Perlis/Penang silalah hubungi saya di:

mrslavenderdaisy@gmail.com

Terima kasih ya!

Nota: Memang benar, pepatah Inggeris '' Don't Judge A Book By Its Cover'' tapi pada saya ''The First Impression Always Help''. Tengok gambar pun dah terasa sedapnya. 

Tuesday, 10 September 2013

UPSR 2013 : Selamat Maju Jaya

Saya  pernah melaluinya suatu waktu dahulu. Setiap hari, Bonda sediakan sepasang pakaian sekolah yang tergantung bergosok bersama-sama sepasang kasut sekolah yang berkapur bersih. Kemudian, Bonda siapkan nasi goreng kelapa dan teh suam kegemaran saya. Hari-hari yang mendebarkan tapi saya rasa begitu istimewa. Ayahbonda bekalkan kata perangsang sambil memeluk dan mencium dahi saya. Saya rasa bersemangat sekali. Sesungguhnya DOA ibubapa dan GURU-GURU saya telah menjadikan siapa saya hari ini... DENGAN IZIN ALLAH. Alhamdulillah.

Untuk anak-anak yang sedang menghadapi peperiksaan ketika ini: 



Nota : Kepada guru-guru saya di SKMP, tiada ucapan yang mampu saya zahirkan dengan kata-kata. Hanya Allah yang akan memberi ganjaran sebaiknya di atas segala jasa, ilmu dan sokongan yang diberikan. Terima kasih, Cikgu!

Monday, 9 September 2013

Konsep Kad Undangan Perkahwinan Yang Ringkas Tapi Sangat Menarik

Alhamdulillah, walaupun banyak jemputan dan memandu ke sana ke sini, akhirnya dapat juga menghadiri majlis perkahwinan ini. Saya sukakan konsepnya. Dari Kad Undangan Perkahwinan, Hiasan Pelamin dan cenderahati tetamu, semuanya saya suka. Ringkas tapi sangat menarik. Warna-warna yang dipilih begitu mendamaikan.

When less is more!

'Boarding Pass'


Nota: Terima kasih KPS di atas jemputan ini. Semoga berbahagialah pasangan ini di dunia dan akhirat.

Saturday, 7 September 2013

Nasi Kerabu Kelantan Versi Utara Mai


Alhamdulillah, rezeki hari ini.
Kakak buatkan nasi kerabu kelantan versi utara mai.
Nasi kerabu tanpa Budu beserta solok lada versi Kedah.
Memang ada kekurangan tetapi tetap sedap.





Nota : Terkenang nasi kerabu kak As. Super Duper Delicious. Selamat Mengerjakan Ibadah Haji. Semoga mendapat haji yang mabrur. InsyaAllah

Friday, 6 September 2013

Apa Lagi Kegunaan Sampul Duit Raya?

Seingat saya, antara perkara yang mengungguli musim perayaan adalah Sampul Duit Raya. Biasanya, kanak-kanak akan mengambil duit sahaja. Sampul akan dibuang. Tapi, berdasarkan pemerhatian saya, abang saya biasanya akan mengumpul semua sampul duit raya anak-anaknya. Duit yang telah dikira dimasukkan ke akaun bank masing-masing.

Di kampung saya, seawal hari raya kedua, sudah ada yang mengadakan majlis perkahwinan. Diikuti, hari-hari berikutnya, banyak yang mengadakan majlis walimatul urus. Jadi, selain daripada memasukkan duit untuk diberi kepada kanak-kanak, sampul duit raya  juga boleh digunakan untuk mengisi duit untuk disedekahkan kepada tuan rumah kenduri. Di zaman saya kecil-kecil-kecil dulu, Ayahanda saya biasanya membeli sampul berbelang merah-biru yang bersaiz kecil/pendek. Tapi sekarang, di zaman abang saya, budaya bersedekah ini masih ada, cumanya sedikit kelainan dari segi sampulnya. 


Bagi saya lebih mudah untuk menghadiri majlis perkahwinan dengan membawa hadiah berbanding duit. Saya tidak pandai salam berkaut (istilah tempat suami). Jadi, lebih mudah saya ke pusat membeli-belah, pilih hadiah dan kertas pembalut, buat pembayaran dan ke kaunter perkhidmatan pelanggan untuk bantuan membalut percuma. Paling tidak pun, masukkan barangan yang dibeli ke dalam kotak hadiah yang berhias cantik. Bawa ke majlis perkahwinan dan hulurkan saja. Mudah kan, cuma kosnya lebih sedikit. Jika kita berniat sedekah, sikit atau banyak bukan persoalannya.



Nota : Ada lagi tak fungsi lain Sampul Duit Raya ni? 

Thursday, 5 September 2013

Thursday Tips #3 : Elak Panik Ketika Di Kaunter Pembayaran

Kita kebiasaannya mudah sangat panik dengan sesuatu keadaan yang kadangkala kita sendiri ciptakan. Jika situasi yang tidak terduga, mungkin ianya bukan sesuatu yang luar biasa. Sebagai contoh, situasi yang kita ciptakan adalah, apabila kita membeli-belah penuh satu troli. Kita pun menolak troli ke kaunter pembayaran. Sekali, bila buka sahaja beg tangan, berpeluh-peluh kita mencari, di mana dompet kita. Beg tangan pula penuh dengan ruang-ruang yang dipisahkan (partition). Ketika itu, di belakang kita, ramai yang berbaris menunggu giliran. Memang, hampir lekang zip di beg tangan, kita buka-tutup, belum lagi yang berbutang. Silap-silap tercabut butang kita kerjakan.

Sebenarnya, kita boleh elakkan situasi sebegini. Kita sudah tahu ataupun sudah merancang untuk keluar membeli barang dapur misalnya, apa salahnya kita ambil masa sekurang-kurangnya seminit untuk membuat semakan yang berupaya untuk mengeluarkan kita dari terperangkap dalam situasi ini. Jom kita tengok, apa tips yang mungkin dapat kita amalkan.

Tips Mudah untuk mengelakkan panik ketika di kaunter pembayaran
  • Tempat Kebiasaan Meletakkan Dompet : Di dalam beg tangan, kebiasaannya ruang-ruang yang ada akan dipisahkan oleh bahagian berzip, atau berbutang. Jika sudah menjadi kebiasaan kita meletakan dompet di ruang paling depan, pastikan sebelum membeli-belah, kita periksa dahulu, adakah kita sudah meletakkan dompet tersebut di tempat kebiasaannya.
  • Warna Dalaman Beg Tangan Dan Dompet : Kadang-kadang keseragaman warna juga menimbulkan masalah. Sebagai contoh, jika bahagian dalam beg tangan kita berwarna hitam, dompet kita juga bewarna hitam, dengan saiz pula yang lebih kecil, pastinya menimbulkan panik ketika di kaunter pembayaran. Kena pula, ruangan di dalam beg agak banyak. Jika terselindung sedikit pun susah kita mencarinya, walhal kita dah buka-tutup ruang tersebut beberapa kali. Seeloknya, jika ruangan dalam beg kita berwarna merah, cuba tukarkan warna dompet kita dengan warna hitam, hijau terang atau biru. Warna kontra ini lebih memudahkan misi pencarian kita.
  • Wang Tunai atau kad Debit/Kredit : Apabila kita hendak keluar berbelanja, perkara utama yang kita perlu pastikan adalah jumlah wang tunai yang ada di dalam dompet kita. Jika senarai barangan yang diperlukan sudah ada, lebih mudah kita menganggarkan jumlah yang bakal kita belanjakan. Di masa yang sama pastikan kita membuat back-up kad Debit kerana sekarang ini, rata-ratanya sudah menerima penggunaan kad Debit. Kad kredit boleh juga digunakan tetapi pada saya, ianya akan lebih kepada menggalakkan pembelian di luar kawalan dan seterusnya dibebani hutang jika kita gagal melunaskannya. Jika pembelian kita dalam jumlah penggunaan wang tunai yang banyak, ia juga akan menimbulkan kerisauan dan faktor keselamatan. Untuk keadaan ini, adalah lebih baik kita setkan awal-awal, pembayaran akan dibuat menggunakan kad Debit sahaja. Ianya lebih selamat.

Nota:  Kalau ada yang mempunyai tips lain, boleh kongsikan bersama juga.

Tuesday, 3 September 2013

Merah Sangatlah Mak Ngah! Eh...Saya Bukan Mak Ngah lah!!!

Saya tidak pasti samada ianya adalah suratan atau kebetulan sahaja. Seperti tajuk lagu pula ayat pengenalan hari ini. Sebenarnya, baru tadi saya terperasan...Rupanya, kebanyakkan barang-barang yang saya miliki berwarna merah sedangkan ianya bukanlah warna kegemaran saya.  Dari sebesar-besar kerusi kerja, beg, komputer riba sehinggalah ke kotak pensil. Semuanya berwarna merah. Dan...saya juga bukannya Mak Ngah yang sinonim dengan 'Merahnya Mak Ngah'... Tidak kira samada di sebelah suami atau di sebelah saya sendiri, saya bukannya anak yang tengah. Kenapa agaknya ya?



Nota: Nanti-nanti akan saya update gambar-gambar barangan lain yang berwarna merah, yang saya miliki. Yang pasti, saya tiada baju yang didominasi oleh warna merah.

Monday, 2 September 2013

Koleksi Pemberian Anak-anak

Berbeza sekali tempat kerja orang yang belum berkahwin dengan seorang ibu yang bekerja. Jika dulu, ruangan tempat kerja saya penuh dengan barangan berwarna dan bercorak mengikut kesukaan saya tetapi sekarang sudah jauh berubah. Saya utamakan pemberian insan-insan yang saya sayang. Walaupun bekerja, saya mahu mereka sentiasa dekat dengan saya. Kasih sayang mereka adalah kekuatan saya. Saya mahu menghargai anugerah yang Allah pinjamkan kepada saya di aras paling tinggi. Bonda selalu berpesan, amalkan berbesar hati menerima pemberian anak-anak dan ucapkan terima kasih sambil memeluknya. Moga-moga ikatan kasih sayang yang terjalin, bertambah kukuh dan erat.

Koleksi ini adalah di antara hasilnya :)




Nota: Mug adalah hadiah percuma dengan pembelian ubat gigi manakala bekas makanan adalah hadiah cabutan bertuah. Anak-anak bungkuskan dan beri pada saya semasa sambutan Hari Wanita. Terima kasih sayang!

Saturday, 31 August 2013

Hari Kemerdekaan Yang Ke 56


Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Yang Ke 56.

Bersama menghayati makna kemerdekaan.

Saya Bangga Menjadi Anak Malaysia!

Friday, 30 August 2013

Gulai Lemak Buah Munggai dan Udang


Dah lama juga saya tidak pernah melihat pokok dan buah munggai di mana-mana. Saya tidak pasti apa nama lain baginya kerana di tempat saya ianya dikenali sebagai munggai. Kali terakhir saya melihat pokok ini adalah sekitar 15 tahun yang lepas. Jiran Bonda ada menanam pokok ini di jalan masuk ke rumahnya. Tetapi apabila proses membesarkan  jalan dan mengubahsuai rumah dibuat, jiran saya telah menebang pokok ini dan mencabut akar umbinya. Hidangan yang sinonim dengan buah ini adalah Gulai Lemak Buah Munggai dan Udang. Alahai, sedapnya! 

Hendak dijadikan cerita, saya jarang sekali berurusan di pejabat pos kerana sebarang urusan di sana diuruskan oleh suami. Tetapi semasa borak santai dengan suami tentang buah-buah pelik ketika zaman kanak-kanak, terlintas di fikiran saya buah munggai. Ketawa suami mendengarnya. Tidak pernah mendengar apatah lagi memakannya. Beriya benar saya untuk memperkenalkanya lalu, saya dapat satu gambar dengan bantuan 'Google'.

Esoknya dia pula beriya mahu saya menemaninya ke pejabat pos. Saya pula berasa pelik dan memilih untuk menunggu di dalam kereta. Suami menyuruh saya menikmati keindahan alam dari dalam kereta. Pelik lagi. Musykil saya dengan sikap suami. Tapi akhirnya, saya nampak pokok ini. Ya, kedudukannya berkembar dengan pagar belakang pejabat pos. Ala, kan senang kalau bagitau awal-awal :)


Nota : Ada nama lain tak untuk pokok buah munggai? Atau ada resepi buah munggai yang mahu dikongsikan, boleh juga!

Thursday, 29 August 2013

Thursday Tips #2: Waktu Sesuai Untuk Membeli-belah (Shopping)

Saya percaya, membeli-belah (shopping) menjadi aktiviti rutin dalam kehidupan samada akan ada hasilnya ataupun sekadar mencuci mata (window shopping). Tidak kira apapun tujuannya, saya kira majoriti dari kita mempunyai pengalaman membeli-belah dan ramai yang menjadikannya sebagai terapi tekanan.

Walaupun saya sukakan aktiviti ini, saya tetap mengambilkira kesesuaian waktu. Ini memberi saya keselesaan untuk menikmati perkara yang saya minat. Saya tidak mahu menukarkan aktiviti keseronokan saya kepada tekanan. Jadi, saya kongsikan tips yang mungkin juga berguna kepada orang lain.

Thursday Tips: Waktu Sesuai Untuk Membeli-belah (Shopping)

  • Diluar tarikh gaji : Seboleh-bolehnya cuba elakkan tarikh puncak. Kebiasaannya, bagi kakitangan awam tarikh gaji adalah 22hb ke 25 hb setiap bulan. Bagi yang bekerja di industri, biasanya adalah 3 ke 7hb. Jadi, kita perlu mengambilkira keadaan pusat membeli-belah selama beberapa hari bermula dari tarikh puncak. Berdasarkan pemerhatian dan pengalaman saya, keadaan tempat membeli-belah agak sesak pada ketika itu terutamanya menjelang perayaan atau ada jualan hebat. Untuk mendapatkan tempat letak kereta juga menjadi satu kesukaran. Silap haribulan, kita terperangkap dalam jem atau kereta  kita terhadang oleh kenderaan lain yang tidak mendapat tempat letak kereta.

  • Bukan hujung minggu pertama: Hujung minggu pertama selepas gaji adalah antara waktu paling ramai orang keluar berbelanja. Membawa keluarga membeli-belah, menikmati makanan di luar sambil melepaskan anak-anak bermain di zon permainan pusat membeli-belah. Aktiviti ini sangat baik untuk mengeratkan hubungan keluargaan. Cuma bila terlalu ramai, aktiviti akan menjadi terhad. Cuba gantikan waktu membeli-belah ini di hujung minggu kedua atau jika masih boleh bertahan, di minggu seterusnya, pasti kita akan mendapat lebih kepuasan.


Saya suka berbelanja di hujung minggu pada minggu terakhir setiap bulan sebelum tarikh gaji berikutnya. Apabila orang tidak ramai, saya mempunyai banyak masa untuk membuat pilihan barangan, menanda senarai membeli-belah atau membuat pilihan lain bagi barangan yang tiada stok.  Kemudian, menikmati aiskrim sambil melihat keseronokan anak-anak bermain di zon permainan.

Nota: Membuat perkara yang kita suka dan rela adalah satu keseronokan. Menikmati keseronokan dengan disertai oleh keluarga adalah satu kepuasan.




Tuesday, 27 August 2013

Ketupat Daun Tebu Yang Menyelerakan Di Hari Raya

Kali pertama saya menulis tentang ketupat daun tebu ini adalah sekitar pertengahan tahun 2008, di zaman Fotopages. Sebenarnya, ketupat ini adalah satu kemestian di hari raya sejak saya kecil. Saya sukakan ketupat yang ada kelainan. Jadi, Bonda tidak pernah lupa menyelitkan beberapa ikat ketupat daun tebu semasa membalut ketupat palas. Isinya sama, pembungkusannya yang istimewa. 

Apabila saya sudah berkahwin, jika giliran beraya bersama keluarga saya, Bonda akan menyediakan ketupat ini sehari sebelum hari raya. Tetapi jika tahun tersebut adalah giliran beraya bersama keluarga suami, Bonda akan menyediakan ketupat daun tebu seusai tamat puasa enam. Walau di mana pun saya beraya, saya tetap dapat menikmati hidangan yang saya suka ini. Bonda memang prihatin terhadap apa yang anak-anaknya suka. Sehinggakan untuk beberapa tahun, pernah Bonda mengirimkan daun palas dan daun tebu ketika saya dan keluarga beraya di perantauan. Terkial-kial saya menyediakannya. Hasilnya tentulah tidak seberapa. Tapi saya berpuas hati.


Nota :  Kasih sayang seorang ibu tiada ukuran, tiada penghujung dan tiada batasan. Doanya mengiringi perjalanan hidup.

Monday, 26 August 2013

Losyen Yang Disukai

Antara barangan Johnson & Johnson yang saya suka adalah losyen ini. 
Melt Away Stress Daily Calming Lotion.

Saya sukakan bau Lavender yang sememangnya berupaya membantu menenangkan saya. Saya rasa relax. Dulu-dulu saya beli botol kecil sahaja tetapi sekejap sangat habisnya. Lagipun, pembelian 400ml ini biasanya lebih menjimatkan. Ada juga didatangkan losyen di dalam bekas bersaiz kecil sebagai free gift. Boleh letak di dalam beg tangan dan di bawa ke mana-mana. Ada sesiapa yang nak berkongsi losyen kegemarannya? Boleh juga saya cuba, dengan haruman yang berbeza, mungkin.




Nota : Ini bukan iklan berbayar ya! Sekadar berkongsi losyen yang saya suka.

Saturday, 24 August 2013

Lampu Unik Yang Cantik

Saya tidak pasti samada saya yang pertama kali melihatnya atau menyedari kewujudannya. Tapi, saya menyukai lampu unik yang cantik ini. Sekilas pandang, ianya sudah melekat di hati saya.

Lampu unik ini dijual oleh sepasang suami isteri. Pelbagai harga ditawarkan mengikut saiz, bentuk dan juga kesukaran rekabentuk. Ada beberapa bentuk yang sudah disiapkan sebagai sampel. Pembeli juga boleh membuat permintaan mengikut bentuk dan kombinasi warna yang disukai. Jika saya terpikat, anak-anak apatah lagi. 

Melihatkan hasil lampu bergantungan ini, pastinya rasa rambang mata. Anak-anak mahu memilih warna, jadi tugas saya memilih bentuknya. Alhamdulillah, tempahan kami berjaya disiapkan dalam masa beberapa minit sahaja. Sesampai di rumah, suami terus memasangnya di anjung rumah sebagai penyeri di waktu malam. Dari gerai di bahu jalan, sepasang sudah berada di rumah kami.



Nota: Cuba teka, yang mana pilihan saya agaknya?

Friday, 23 August 2013

Jeruk Buah Asam Renda Yang Laris

Pernah dengar tak buah asam renda? Kalau di tempat saya dulu-dulu, buah ini kategori buah yang glamour. Kalau masuk pertandingan, besar kemungkinan akan menjadi pesaing hebat si raja buah. Pada masa itu lah.

Kini, saya dapat rasakan, kebanyakan anak-anak kita, tidak pun mengenali, malahan tidak menyedari kewujudan buah ini. Saya tidak pandai makan buah asam renda ini begitu saja. Pada saya, sedapnya buah ini hanya jika ianya dibuat jeruk. Air jeruknya berwarna merah jambu. Hairan ya, dahulu tidak pulak terbatuk-batuk apabila menyedutnya. Sekarang, nak makan jeruk pun saya berfikir sepuluh kali, airnya apatah lagi.

Kisah buah asam renda ni bermula semasa saya di sekolah rendah. Allahyarham Pak Hussin adalah tukang kebun sekolah saya. Pokok asam renda tumbuh segar di halaman rumah beliau. Melihatkan buah yang begitu lebat, isteri Pak Hussin buatkan jeruk.Apabila tamat waktu persekolahan, saya  dan rakan-rakan akan membeli sepeket dengan harga sepuluh sen. Sekejap sahaja Jeruk Buah Asam Renda ini habis terjual. Sungguh laris. Pakej banyak dan murah. Bonusnya tentulah kesedapan yang tidak terucap.

Kepada sesiapa yang belum pernah melihat atau mendengar, inilah buahnya. Dahulu, boleh dikatakan di setiap rumah akan ada pokok ini. Sekarang ini, susah pulak hendak mencarinya.




Nota:  Di mana saya boleh dapatkan anak pokok ini ya? Sudah dua, tiga nursery saya pergi, semuanya menghampakan.

Thursday, 22 August 2013

Thursday Tips #1 : Mengejutkan Anak Bangun Tidur

Mengejutkan anak dari tidur samada untuk bersahur atau ke sekolah kadangkala menjadi satu kesukaran untuk ibubapa. Sebagai seorang ibu kepada dua orang anak yang berumur 8 tahun dan 5 tahun, saya juga mempunyai pengalaman yang sama. Jika hendak bersahur  jam 5 pagi, saya perlu memulakan proses mengejutkan anak-anak 10 minit atau 15 minit awal. Dengan ini saya masih mempunyai masa untuk terus mengejutkan anak-anak dengan percubaan-percubaan yang lain jika usaha pertama tidak membuahkan hasil. Begitu juga keadaannya jika mahu mengejutkan mereka terutamanya jika bersekolah di sesi pagi.
Bagi saya 'mood' waktu pagi perlu dijaga sebaik mungkin kerana ia menentukan prestasi kita pada hari tersebut. Jadi, saya berfikiran, cara memarahi, berleter atau menepuk kuat bukanlah cara terbaik untuk membangunkan anak-anak atau pasangan yang sedang tidur. Ianya bukan sahaja merosakkan 'mood' mereka, tetapi 'mood' kita juga. InsyaAllah, di entri yang lain akan saya kongsikan cerita mengenai 'mood' ini.

Jom kita tengok 2 tips yang mungkin boleh dicuba.

Thursday Tips: Mengejutkan Anak Bangun Tidur.


  • Amalan Bonda : Setiap kali setelah selesai membaca Doa Tidur, Bonda minta saya niatkan untuk bangun pukul berapa dan tujuan apa. Kata Bonda, InsyaAllah, niat yang baik akan baiklah hasilnya. Sebagai contoh, saya hendak bangun seawal 5 pagi untuk bersahur kerana semasa saya masih kecil saya diajar dengan bersahur akan mendapat pahala dan memberi kekuatan untuk berpuasa di siang hari. Orang yang banyak pahala, akan masuk syurga. Berdasarkan pengalaman, biasanya saya akan tersedar dari tidur 5 minit atau 10 minit lebih awal dari waktu tersebut.
  • Kalau  Dah Jodoh oleh Ustaz Kazim : Jentik kuku ibu jari kaki untuk mengejutkan suami/anak-anak untuk bangun dari tidur. Saya dah cuba untuk anak-anak, alhamdulillah...ianya menjadi. Untuk suami? Belum cuba lagi!

Nota: Ayahanda begitu mementingkan bangun tidur sebelum azan Subuh berkumandang. Murah rezeki katanya.

Nasi Ulam Air Tangan Bonda



Nasi Ulam adalah menu utama keluarga saya sejak saya kecil. Ianya seolah-olah makanan rasmi keluarga untuk berbuka puasa di hari Jumaat pada minggu pertama dan terakhir Ramadhan. Ketika itu, kebiasaannya semua ahli keluarga berkumpul. Kakak-kakak yang berada di asrama kembali ke rumah. Ayahanda akan mencari bahan-bahan mentah yang diperlukan untuk hidangan istimewa ini. Suasana riuh rendah sebelumnya menjadi sunyi ketika masing-masing menikmati makanan. Sesekali suara Bonda bertanya jika ada yang ingin menambah makanan. Tentunya, jarang sekali ada yang menolak.

Menu Bonda ringkas sahaja. Bonda menyediakan nasi ulam beserta asam pedas keladi dan ikan goreng. Air sirap dan teh panas menjadi kombinasi yang paling ideal untuk saya sekeluarga. Kesedapannya tidak dapat diterjemahkan oleh kata-kata sehinggakan jika ada pun kuih-muih yang lain, jarang sekali diusik melainkan setelah selesai solat tarawikh. Hebatnya air tangan Bonda.

Saya bersyukur, tahun ini, di Ramadhan yang baru berlalu, saya masih lagi diberi kesempatan untuk menikmatinya. Bonda menyediakan menu istimewa ini untuk anak menantu, cucu-cucu dan cicit-cicitnya buat kesekian kalinya. Seperti biasa, sesekali bergenang airmata Bonda, bercucuranlah air mata saya. Kami berkongsi rasa. Bonda terkenangkan Ayahanda.  Saya juga!

Nota: Al-Fatihah Buat Ayahanda (8 Februari 1999)