Lebih sebulan, jalan yang saya lalui untuk pergi dan pulang dari tempat kerja, kelihatan kosong dan sepi tanpa sebarang kesibukan anak-anak ke sekolah. Pagi ini, situasi rutin itu telah kembali tetapi tidak sesibuk selalunya. Kelihatan si comel yang bakal memulakan langkah ke alam persekolahan dengan pakaian sekolah serba baru dan anak-anak yang meningkat remaja memulakan langkah ke persekolahan menengah ditemani waris masing-masing.
Saya tidak pasti apa namanya hari ini tetapi ianya lebih kepada sesi orientasi sebelum memulakan persekolahan secara rasminya pada 1 Januari 2014. Kelihatan bersemangat sekali anak-anak ini. Semoga setiap langkah mereka untuk mencari ilmu akan diberkati dan menjadikan mereka manusia yang berguna di dunia dan akhirat.
Saya belum melalui pengalaman ini walaupun puteri sulung saya bakal melangkah ke darjah 3, rabu ini. Dia memulakan darjah satunya lewat dua bulan dari rakan-rakan sekelasnya iaitu pada 1 Mac 2012, 3 hari selepas ketibaan kami sekeluarga di tanahair. Jetlag pun belum hilang, dia sudah bersemangat untuk bersekolah di Malaysia. Segala urusan pendaftaran dan dokumen yang berkaitan dengannya saya buat lebih awal iaitu semasa berada di luarnegara dan dibantu dengan kakak saya yang berada di Malaysia. Ini bagi memastikan puteri saya tidak menunggu lama apabila tiba di tanahair.
Alhamdulillah, dia dapat memulakan persekolahan seperti yang dirancang dan dengan izin Allah juga, dia cepat menyesuaikan diri dengan situasi sekolah baru yang nyata berbeza dengan dunia persekolahannya sebelum ini. Jadi, bila melihatkan situasi tadi, saya menjadi tidak sabar dan teruja untuk melihat puteri kedua saya melangkah dan bersemangat dengan uniform sekolah rendah. Puteri kedua saya tidak mahukan baju nursery, dia mahu kelihatan seperti kakaknya. Jadi, dalam usaha memujuk saya belikan 2 pasang kasut sekolah untuknya, kiki lala dan bbg sama seperti kakaknya. InsyaAllah, Januari 2015, jika tiada aral, saya mahu mengiringinya memulakan sesi persekolahan.
Pada saya... anak dan ibu sama-sama teruja. Saya pasti suami juga teruja, cuma tidak secara terang-terangan. Kalau tak, takkan asyik google keperluan sekolah dan sibuk memilih kasut yang sesuai dan selesa untuk puteri-puterinya :)
No comments:
Post a Comment