Thursday, 29 August 2013

Thursday Tips #2: Waktu Sesuai Untuk Membeli-belah (Shopping)

Saya percaya, membeli-belah (shopping) menjadi aktiviti rutin dalam kehidupan samada akan ada hasilnya ataupun sekadar mencuci mata (window shopping). Tidak kira apapun tujuannya, saya kira majoriti dari kita mempunyai pengalaman membeli-belah dan ramai yang menjadikannya sebagai terapi tekanan.

Walaupun saya sukakan aktiviti ini, saya tetap mengambilkira kesesuaian waktu. Ini memberi saya keselesaan untuk menikmati perkara yang saya minat. Saya tidak mahu menukarkan aktiviti keseronokan saya kepada tekanan. Jadi, saya kongsikan tips yang mungkin juga berguna kepada orang lain.

Thursday Tips: Waktu Sesuai Untuk Membeli-belah (Shopping)

  • Diluar tarikh gaji : Seboleh-bolehnya cuba elakkan tarikh puncak. Kebiasaannya, bagi kakitangan awam tarikh gaji adalah 22hb ke 25 hb setiap bulan. Bagi yang bekerja di industri, biasanya adalah 3 ke 7hb. Jadi, kita perlu mengambilkira keadaan pusat membeli-belah selama beberapa hari bermula dari tarikh puncak. Berdasarkan pemerhatian dan pengalaman saya, keadaan tempat membeli-belah agak sesak pada ketika itu terutamanya menjelang perayaan atau ada jualan hebat. Untuk mendapatkan tempat letak kereta juga menjadi satu kesukaran. Silap haribulan, kita terperangkap dalam jem atau kereta  kita terhadang oleh kenderaan lain yang tidak mendapat tempat letak kereta.

  • Bukan hujung minggu pertama: Hujung minggu pertama selepas gaji adalah antara waktu paling ramai orang keluar berbelanja. Membawa keluarga membeli-belah, menikmati makanan di luar sambil melepaskan anak-anak bermain di zon permainan pusat membeli-belah. Aktiviti ini sangat baik untuk mengeratkan hubungan keluargaan. Cuma bila terlalu ramai, aktiviti akan menjadi terhad. Cuba gantikan waktu membeli-belah ini di hujung minggu kedua atau jika masih boleh bertahan, di minggu seterusnya, pasti kita akan mendapat lebih kepuasan.


Saya suka berbelanja di hujung minggu pada minggu terakhir setiap bulan sebelum tarikh gaji berikutnya. Apabila orang tidak ramai, saya mempunyai banyak masa untuk membuat pilihan barangan, menanda senarai membeli-belah atau membuat pilihan lain bagi barangan yang tiada stok.  Kemudian, menikmati aiskrim sambil melihat keseronokan anak-anak bermain di zon permainan.

Nota: Membuat perkara yang kita suka dan rela adalah satu keseronokan. Menikmati keseronokan dengan disertai oleh keluarga adalah satu kepuasan.




No comments:

Post a Comment