Kita kebiasaannya mudah sangat panik dengan sesuatu keadaan yang kadangkala kita sendiri ciptakan. Jika situasi yang tidak terduga, mungkin ianya bukan sesuatu yang luar biasa. Sebagai contoh, situasi yang kita ciptakan adalah, apabila kita membeli-belah penuh satu troli. Kita pun menolak troli ke kaunter pembayaran. Sekali, bila buka sahaja beg tangan, berpeluh-peluh kita mencari, di mana dompet kita. Beg tangan pula penuh dengan ruang-ruang yang dipisahkan (partition). Ketika itu, di belakang kita, ramai yang berbaris menunggu giliran. Memang, hampir lekang zip di beg tangan, kita buka-tutup, belum lagi yang berbutang. Silap-silap tercabut butang kita kerjakan.
Sebenarnya, kita boleh elakkan situasi sebegini. Kita sudah tahu ataupun sudah merancang untuk keluar membeli barang dapur misalnya, apa salahnya kita ambil masa sekurang-kurangnya seminit untuk membuat semakan yang berupaya untuk mengeluarkan kita dari terperangkap dalam situasi ini. Jom kita tengok, apa tips yang mungkin dapat kita amalkan.
Tips Mudah untuk mengelakkan panik ketika di kaunter pembayaran
- Tempat Kebiasaan Meletakkan Dompet : Di dalam beg tangan, kebiasaannya ruang-ruang yang ada akan dipisahkan oleh bahagian berzip, atau berbutang. Jika sudah menjadi kebiasaan kita meletakan dompet di ruang paling depan, pastikan sebelum membeli-belah, kita periksa dahulu, adakah kita sudah meletakkan dompet tersebut di tempat kebiasaannya.
- Warna Dalaman Beg Tangan Dan Dompet : Kadang-kadang keseragaman warna juga menimbulkan masalah. Sebagai contoh, jika bahagian dalam beg tangan kita berwarna hitam, dompet kita juga bewarna hitam, dengan saiz pula yang lebih kecil, pastinya menimbulkan panik ketika di kaunter pembayaran. Kena pula, ruangan di dalam beg agak banyak. Jika terselindung sedikit pun susah kita mencarinya, walhal kita dah buka-tutup ruang tersebut beberapa kali. Seeloknya, jika ruangan dalam beg kita berwarna merah, cuba tukarkan warna dompet kita dengan warna hitam, hijau terang atau biru. Warna kontra ini lebih memudahkan misi pencarian kita.
- Wang Tunai atau kad Debit/Kredit : Apabila kita hendak keluar berbelanja, perkara utama yang kita perlu pastikan adalah jumlah wang tunai yang ada di dalam dompet kita. Jika senarai barangan yang diperlukan sudah ada, lebih mudah kita menganggarkan jumlah yang bakal kita belanjakan. Di masa yang sama pastikan kita membuat back-up kad Debit kerana sekarang ini, rata-ratanya sudah menerima penggunaan kad Debit. Kad kredit boleh juga digunakan tetapi pada saya, ianya akan lebih kepada menggalakkan pembelian di luar kawalan dan seterusnya dibebani hutang jika kita gagal melunaskannya. Jika pembelian kita dalam jumlah penggunaan wang tunai yang banyak, ia juga akan menimbulkan kerisauan dan faktor keselamatan. Untuk keadaan ini, adalah lebih baik kita setkan awal-awal, pembayaran akan dibuat menggunakan kad Debit sahaja. Ianya lebih selamat.
Nota: Kalau ada yang mempunyai tips lain, boleh kongsikan bersama juga.
No comments:
Post a Comment