Tuesday, 27 August 2013

Ketupat Daun Tebu Yang Menyelerakan Di Hari Raya

Kali pertama saya menulis tentang ketupat daun tebu ini adalah sekitar pertengahan tahun 2008, di zaman Fotopages. Sebenarnya, ketupat ini adalah satu kemestian di hari raya sejak saya kecil. Saya sukakan ketupat yang ada kelainan. Jadi, Bonda tidak pernah lupa menyelitkan beberapa ikat ketupat daun tebu semasa membalut ketupat palas. Isinya sama, pembungkusannya yang istimewa. 

Apabila saya sudah berkahwin, jika giliran beraya bersama keluarga saya, Bonda akan menyediakan ketupat ini sehari sebelum hari raya. Tetapi jika tahun tersebut adalah giliran beraya bersama keluarga suami, Bonda akan menyediakan ketupat daun tebu seusai tamat puasa enam. Walau di mana pun saya beraya, saya tetap dapat menikmati hidangan yang saya suka ini. Bonda memang prihatin terhadap apa yang anak-anaknya suka. Sehinggakan untuk beberapa tahun, pernah Bonda mengirimkan daun palas dan daun tebu ketika saya dan keluarga beraya di perantauan. Terkial-kial saya menyediakannya. Hasilnya tentulah tidak seberapa. Tapi saya berpuas hati.


Nota :  Kasih sayang seorang ibu tiada ukuran, tiada penghujung dan tiada batasan. Doanya mengiringi perjalanan hidup.

No comments:

Post a Comment