Nasi Ulam adalah menu utama keluarga saya sejak saya kecil. Ianya seolah-olah makanan rasmi keluarga untuk berbuka puasa di hari Jumaat pada minggu pertama dan terakhir Ramadhan. Ketika itu, kebiasaannya semua ahli keluarga berkumpul. Kakak-kakak yang berada di asrama kembali ke rumah. Ayahanda akan mencari bahan-bahan mentah yang diperlukan untuk hidangan istimewa ini. Suasana riuh rendah sebelumnya menjadi sunyi ketika masing-masing menikmati makanan. Sesekali suara Bonda bertanya jika ada yang ingin menambah makanan. Tentunya, jarang sekali ada yang menolak.
Menu Bonda ringkas sahaja. Bonda menyediakan nasi ulam beserta asam pedas keladi dan ikan goreng. Air sirap dan teh panas menjadi kombinasi yang paling ideal untuk saya sekeluarga. Kesedapannya tidak dapat diterjemahkan oleh kata-kata sehinggakan jika ada pun kuih-muih yang lain, jarang sekali diusik melainkan setelah selesai solat tarawikh. Hebatnya air tangan Bonda.
Saya bersyukur, tahun ini, di Ramadhan yang baru berlalu, saya masih lagi diberi kesempatan untuk menikmatinya. Bonda menyediakan menu istimewa ini untuk anak menantu, cucu-cucu dan cicit-cicitnya buat kesekian kalinya. Seperti biasa, sesekali bergenang airmata Bonda, bercucuranlah air mata saya. Kami berkongsi rasa. Bonda terkenangkan Ayahanda. Saya juga!
Nota: Al-Fatihah Buat Ayahanda (8 Februari 1999)
No comments:
Post a Comment