Wednesday, 31 December 2014

Hati Tersentuh Lagi : Wahai Anak

 Puteri kedua saya akan menjejakkan kaki ke darjah satu di tahun 2015.  Hari suaikenal dengan sekolah barunya dijadualkan pada  esok hari ... Khamis 1 Januari 2015.

Kegembiraan dan semangatnya berkobar-kobar dan dia kelihatan sangat tidak sabar dan begitu gembira. Apatah lagi melihatkan  pakaian seragam sekolah yang sudah tersedia, siap berseterika dan dijahitkan namanya.

Ada seketika...berita di tv menyiarkan tentang banjir yang melanda beberapa negeri tanahair. 

Mama, kalau sekolah mereka masuk air lagi, mama ajak lah datang sekolah adik. Boleh sekolah sama-sama, boleh ramai-ramai jadi kawan adik. Nanti air dah kering, mereka boleh pergi sekolah mereka semula. Mereka boleh je pakai baju sekolah adik, boleh guna kasut sekolah adik. Adik pakai satu dulu. 

Wahai Anak! Saya tidak tahu apa yang perlu saya ucapkan. 
Sungguh tersentuh hati ini.

Ya Allah, Engkau jadikanlah anak ini anak yang solehah dan Engkau permudahkan urusan semua mangsa banjir dan pasukan penyelamat. Amin.


Tuesday, 30 December 2014

Friday, 26 December 2014

Opick - Rapuh - Shuib Sepahtu

Detik waktu terus berjalan
Berhias gelap dan terang
Suka dan Duka 
Tangis dan tawa
Tergores bagai lukisan
Seribu mimpi berjuta sepi
Hadir bagai teman sejati
Di antara lelahnya jiwa
Dalam resah dan air mata
Ku persembahkan kepada Mu
Yang Terindah dalam hidupku
Meski ku rapuh dalam langkah
Kadang tak setia kepadaMu
Namun cinta dalam jiwa
Hanyalah padaMu
Maafkan lah bila hati
Tak sempurna mencintaiMu
Dalam dada ku harap 
Hanya dirimu yang bertakhta
Detik waktu terus berlalu
Semua berakhir padaMu

Memang merdu mendengar Opick menyanyikan lagu ini. Penuh erti dan penghayatan. Tidak jemu mendengarnya. Penuh makna dan sentiasa terngiang-ngiang di telinga. Rapuh versi Shuib Sepahtu dalam Maharajalawak Mega pun best juga!

Tazkirah Menyentuh Hati oleh UKE

Semalam saya mengikuti Mimbar  Akhir Pencetus Ummah 2 yang menyaksikan PU Azman dinobatkan sebagai Juara. Tahniah  kepada semua finalist yang ternyata begitu hebat  sekali.

Sememangnya banyak sekali manfaatnya program sebegini dan saya dapat menonton dua ustaz kegemaran saya iaitu Ustaz Syed Norhisyam dan Ustaz Kazim Elias

 Apa yang ingin saya kongsikan adalah tazkirah yang disampaikan oleh UKE. Walaupun dalam masa yang singkat ternyata ianya sampai ke hati... hingga berjujuran airmata tanpa disedari. Memberi kesan dan benar-benar menyentuh ke sanubari.

Ya Allah, semoga Engkau memberi kemudahan dan kesabaran kepada orang-orang yang menjaga, mendidik dan mengambilberat tentang anak-anak yatim. Mereka adalah insan-insan yang terpilih untuk berbakti kepada anak-anak  yang kehilangan ibu atau bapa atau kedua-duanya. Amin.

Thursday, 13 November 2014

11 Hari Di Dalam Bulan 11

Hari ini adalah hari ke 11, sahabat saya kembali ke sisiNya. 
Pergi dengan penuh ketenangan walau secara tiba-tiba
Berpisah alam dengan pasangan tercinta
Meninggalkan anak-anak yang belumpun remaja
Semoga Allah menyatukan mereka semula di syurga.

Sesungguhnya kematian itu tidak akan terlambat atau tercepat walau sesaat. 
Bila tiba waktunya, kita akan dipanggil pulang.

Damailah engkau di sana wahai sahabat.
Semoga rohnya ditempatkan di kalangan orang yang beriman dan beramal soleh. 

AL-FATIHAH

Saturday, 11 October 2014

Rindu Seorang Kakak

Sejak-akhir-akhir ini saya begitu merinduinya. 
Rindukan senyum dan tawanya.
Entah kenapa...

Dahulu...Bertahun saya di perantauan, saya terasa begitu dekat dengannya. 
Bersyukur kepada Allah kerana mengizinkan.
Berterima kasih pada kecanggihan teknologi yang menjadi penghubung. 
Sesungguhnya perbezaan masa di antara dua benua tidak pernah menjadi penghalang.

Kini, saya di sini. Saya terasa akan kejauhan. 
Dengan tanggujawab baru, sedikit sukar untuk saya membahagikan masa dan ruang.
Walau apapun, doa saya tetap bersamanya.
Yang terbaik untuknya.
Terus berjaya!


Thursday, 25 September 2014

Maafkan Saya

Maafkan saya...
Alahai... saya tidak pasti.. momentum menulis memang sukar untuk didapati semula apabila 'berhenti' kerana komitmen tertentu.. Dan ianya terus terhenti walaupun ada masa terluang, ada ketika tidak melakukan apa-apa. 
Hanya menjengah blog dan memandang sepi tanpa sebarang update.
Saya akui dan tabik kepada penulis-penulis yang begitu komited di alam maya yang paling tidak sehari pastinya akan ada satu entry atau pun lebih. 
Betapa tinggi tahap disiplin mereka.

Maafkan saya...
Saya tidak mahu sebenarnya untuk menjadikan komitmen lain sebagai alasan untuk berhenti menulis kerana jika ada minat, sesusah mana atau sesibuk mana, 
pasti akan ada secebis masa untuk menulis sesuatu di blog. 
Saya masih mahu menulis. 
Saya masih mahu meneruskan kesinambungan blog ini. 
Saya masih berminat cuma, pada satu ketika saya terjerat dengan pengurusan masa
 yang tidak menentu.

Maafkan saya wahai blog...
Saya akan cuba tetapi saya tidak mahu berjanji.
Walaupun minat tetap membara, ada ketika, ada masanya, blog ini terbiar sepi...



Friday, 11 July 2014

Kad-kad Yang Memenuhi Dompet Seorang Ibu

Selain daripada kad bank (debit atau kredit) semestinya ada kad-kad tambahan yang sebenarnya lebih menguasai ruang di dalam dompet duit seorang ibu. Kalau semasa bergelar pelajar/bujang, semestinya kad-kadnya sedikit berbeza. Sebenarnya antara hobi saya adalah menyimpan kad-kad keahlian seperti ini.

Jom kita tengok koleksi kad-kad yang ada pada seorang ibu seperti saya.
 Ini adalah koleksi yang terkini, yang ada di dalam dompet saya. 
Kad-kad yang masih aktif dan digunakan.

Ada kad Tesco, Popular Books, First Touch, Watsons, Mee Chong Textiles, Pacific, Aneka dan Kad Ria. Ini tidak termasuk kad Mesra dan Bonus Link.

Dan .... ada beberapa lagi kad keahlian yang saya sedang tinjau, yang boleh memberi penjimatan/rewards. Nampaknya saiz beg akan bertukar mengikut kelebaran saiz dompet...

 Yang lain-lain terpaksa dipindahkan ke dalam laci kerana jarang digunakan atau sudah tamat tempoh tanpa diperbaharui. 





Sunday, 15 June 2014

Menghadapi Saat Yang Sukar

Beberapa hari ini saya berkesempatan menonton beberapa siri motivasi di TV. Di dalam kebanyakkan slot, saya  lebih tertarik dengan topik cara-cara menghadapi saat-saat yang sukar. 

Sememangnya, sebagai manusia, kita pasti tidak terelak daripada pernah menghadapi saat-saat sukar di dalam hidup. Mungkin setiap seorang dari kita pernah menghadapinya sekurang-kurangnya sekali. Antara contoh saat-saat yang sukar adalah kehilangan orang tersayang, kesempitan hidup, kejatuhan dalam perniagaan dan juga kegagalan di dalam pelajaran.

Saya berpandangan yang sama. Kesukaran, kesusahan dan kepayahan itu adalah dugaan dan ujian. Jadi kita kena redha dan mengambil langkah sewajarnya untuk menangani saat itu.

 Secara kesimpulannya, rata-rata pakar motivasi menekankan dua perkara utama untuk menghadapi saat-saat yang sukar ini iaitu:

THINK, DO AND BE POSITIVE
BERDOA PADA ALLAH

In shaa Allah, dengan dua perkara ini, semua urusan kita selanjutnya akan dipermudahkan dan kita menjadi lebih realistik di dalam kehidupan.

Saturday, 3 May 2014

Menu Ringkas Kegemaran Anak-Anak : Ayam Goreng Kunyit Dan Ayam Kicap Pedas

Ayam Goreng Kunyit dan Ayam Kicap Pedas merupakan lauk kegemaran puteri-puteri saya. Boleh dikatakan dalam seminggu, menu ini pasti berulang di atas permintaan mereka. Saya tiada masalah untuk menyediakannya sebab asas masakan adalah sama... Ayam Goreng. 

Bezanya....ayam goreng pedas, ayamnya digoreng 3/4 masak manakala untuk ayam goreng kunyit, ayamnya sedikit garing. Senang, ringkas dan pastinya 'sold out'.

Cumanya, akhir-akhir ini, saya perasan, 'alahan' (alergic) puteri kedua saya terhadap ayam semakin menjadi-jadi. Akan kelihatan biji-biji kecil seolah-olah ruam sebaik sahaja dia menjamah ayam. Begitu cepat dan pantas. Nampaknya saya perlu menyediakan makanan alternatif untuknya yang tidak jauh berbeza dari kedua-dua menu ini.... Ikan mungkin???


 

Friday, 2 May 2014

Faizal Hussein dan Beto Kusyairy

Saya sukakan lakonan mereka.
Secara peribadi, saya lebih sukakan watak mereka yang 'Cool' tetapi meninggalkan kesan seperti watak di dalam Dahlia dan Sekali Sayang.
Drama yang telah lama ditayangkan di TV, hanya baru kali ini saya berpeluang bercerita mengenainya di blog :)

 

Sumber gambar #1                                           Sumber gambar #2

Thursday, 1 May 2014

Thursday Tips #4 : Apabila 'Tudung Tak Jadi' Merosakkan Mood

Tadi...sewaktu mengisi borang cuti tahunan, saya berbual dengan kakak satu tempat kerja. Beliau memiliki anak perempuan muda belia yang baru mendapat keputusan SPM. Kini sedang bekerja sementara di kedai komputer. Katanya, setiap hari Isnin, beliau menjadi risau. Bukan sebab 'Monday Blues' tetapi sebab anak daranya yang jika 'tudung tak jadi' di pagi Isnin, maknanya seminggu 'mood' akan entah apa-apa. 
Pening kepala melayan karenahnya.

Saya tersenyum.. zaman saya belajar di ijazah pertama dulu, teman serumah saya juga berperangai sama. Pagi-pagi Isnin, tak siapa berani berbual atau menegurnya walaupun sahabat paling baik...selagi dia tidak siap memakai tudung. Ketika itu tudung bawal memang 'hot' tetapi dengan anak tudung melekap, sememangnya ada kemungkinan tudung tersebut akan turut tertempek ke dahi. Dia memang pantang begitu. Yang dia nak adalah tudung muncung terletak. Silap-silap haribulan, kalau tudungnya tak menjadi, sanggup pula dia tidak ke kelas sebab 'stress'.

Saya juga peminat tudung bawal. Malahan sehingga kini, saya masih memakai tudung bawal kerawang. Semasa berada di UK, sebulan sebelum menyambut Ramadhan, setiap tahun, keluarga saya pasti mengirimkan baju kebangsaan untuk kami sekeluarga. Khas untuk saya, ada beberapa helai tudung bawal dikirimkan bersama yang ala-ala sedondon dengan baju kurung. Tudung berwarna krim tidak pernah ketinggalan. Jadi, apakata kita tengok, dua tips yang mungkin boleh membantu mengatasi masalah ini.

Tips mengelakkan 'tudung tak jadi' merosakkan mood
  • Pertama: Selain daripada menyediakan tudung sedondon dengan baju, saya akan menyediakan (lebih awal) satu tudung lain yang senang dipadankan dengan semua warna baju. Sentiasa tersedia, siap berseterika dan tergantung di penyangkut. Di dalam keadaan nak cepat, kecemasan atau tudung yang disediakan tak jadi, capai sahaja tudung 'spare' tersebut. Contoh warna tudung adalah krim dan putih.
  • Kedua : Tudung 'spare' tersebut hendaklah yang biasa dipakai. Jangan pula tudung yang masih berbau kedai,yang tag harga pun masih terlekat.. Tudung 'spare' ini mestilah yang sah-sah tidak pernah mencetuskan masalah sebelum ini. Letak kerongsang, sarung, buat lipatan dan letakkan peniti.

Nota : Selamat Hari Pekerja 1 Mei 2014


Monday, 28 April 2014

Tercipta Untukku : Selamat Hari Lahir

Buat  suami, sahabat dan kawan yang ketawa dan menangis bersama...

Selamat Hari Lahir

Semoga Panjang Umur, Murah Rezeki dan kebahagiaan kita berpanjangan hingga ke syurga.


Aku ingin engkau selalu
Hadir dan temani aku
Di setiap langkah
Yang meyakiniku
KAU TERCIPTA UNTUKKU
Meski waktu akan mampu 
Memanggil seluruh ragaku
Ku ingin kau tahu 
Ku selalu milikmu
Yang mencintaimu.
{..... kredit lagu tercipta untukku (ungu)}

Tuesday, 25 March 2014

MH370 Yang Dinanti : DariNya Kita Datang, KepadaNya Kita Kembali

Ya Allah,  jika sudah takdirnya destinasi akhir MH370 di Lautan Hindi, Engkau berilah petunjuk untuk pasukan SAR menjejaki bukti-bukti untuk merungkai segala misteri.
Ya Allah, berikanlah kekuatan, ketabahan dan kesabaran  kepada mereka-mereka yang kehilangan orang-orang tersayang supaya redha dengan kejadian.
Ya Allah, Engkau tempatkan mereka-mereka yang terkorban di tempat yang terbaik di sisiMu.
Ya Allah, Sesungguhnya Hanya Engkau Yang Maha Berkuasa Di Atas Segala-galanya.
Amin.

Sunday, 9 March 2014

Doa, Harapan Dan Keajaiban # PRAY4MH370

 Akan Sentiasa Ada Cahaya, 
Akan Sentiasa Ada Harapan, 
Akan Sentiasa Bersinar Cahaya Harapan
Selagi ada kesabaran
Selagi ada ketabahan
Selagi ada keyakinan
Dengan Doa Yang Berterusan
Dari Hati Yang Penuh Ketulusan
KepadaNya sebaik-baik penyerahan.

Ya Allah, 
Hanya kepadaMU kami memohon pertolongan
Hanya kepadaMU kami memohon perlindungan
Hanya dengan izinMU akan berlaku segala KEAJAIBAN

# PRAY4MH370

Saturday, 8 March 2014

Pesawat MAS MH370 KL - Beijing : Doa Untuk Mereka

Ya Allah, Permudahkanlah usaha-usaha yang dijalankan untuk mengesan pesawat MAS yang hilang ini.
Semoga semuanya ditemui dalam keadaan yang selamat.
Amin.


Thursday, 6 March 2014

Susah atau Senang, Sedih atau Gembira....Ianya Tetap Ujian

Secara peribadi, kebanyakan kita jika dikaitkan dengan ujian hidup, kita melihat kepayahan, kesedihan dan kesusahan sebagai dugaan terhebat. Kita menangis dan meratap, mengenang nasib diri. Tapi sebenarnya, kita jarang sekali sedar... kekayaan, kegembiraan dan kesenangan itu juga sebenarnya adalah ujian.

Saya ingin kongsikan kata-kata guru saya. Walaupun, beliau sudah dijemput pulang, ingatan dan doa saya tetap bersamanya.

'Jangan angkuh ketika menjadi ketua
Sehebat-hebat jawatan dan pangkat...kita tetap manusia biasa
Jangan angkuh bila berbicara
Sehebat-hebat kepetahan bercakap...bimbang ada hati yang kita sakiti
Jangan meratapi kesusahan diri
Sehebat-hebat kepayahan yang dilalui... pasti ada hikmah tersembunyi'

Monday, 10 February 2014

Alhamdulillah Dan Tahniah!

... Aku gembira menyaksikan
Kau beroleh kejayaan
Dulu di kaki tangga
Kini di menara ...

ALHAMDULILLAH & TAHNIAH



Thursday, 6 February 2014

B.E.R.A.N.I

When a new day begins, dare to smile gratefully.
When there is darkness, dare to be the first to shine a light.
When there is injustice, dare to be the first to condemn it.
When something seems difficult, dare to do it anyway.
When life seems to beat you down, dare to fight back.
When there seems to be no hope, dare to find some.
When you’re feeling tired, dare to keep going.
When times are tough, dare to be tougher.
When love hurts you, dare to love again.
When someone is hurting, dare to help them heal.
When another is lost, dare to help them find the way.
When a friend falls, dare to be the first to extend a hand.
When you cross paths with another, dare to make them smile.
When you feel great, dare to help someone else feel great too.
When the day has ended, dare to feel as you’ve done your best.
Dare to be the best you can –

At all times, Dare to be  ~ Steve Maraboli

Keindahan Sawah Padi Di Kaki Gunung Jerai

Sebagai anak Kedah, saya sangat sinonim dengan terma sawah padi. Saya akui...saya tiada kepakaran, malahan  dunia kanak-kanak saya lebih kepada menikmati keindahan sawah padi di waktu petang semasa musim menuai. Kegembiraan bermain wau kertas sambil berlari di batas ban, juga menangkap anak-anak ikan di tali air. Kemudiannya, menikmati rojak buah dan laksa di bawah pokok keriang dot beserta sirap sejuk. 
Kini, setelah  lebih 25 tahun, saya kembali ke sini. Bersama Bonda dan keluarga kecil saya tanpa Ayahanda saya. Suasananya jauh berubah. Bukan sekadar motorsikal, malahan kereta juga sudah boleh dipandu menyusuri sawah padi yang luas terbentang. 
Ya Allah, saya rindukan zaman kanak-kanak saya. Zaman saya bersama siput gondang, bunga rumput jolok, anak ikan kemeras, buah keriang dot, pucuk paku rawan, biji janggus bakar, pokok kekabu 'berhantu'...Airmata saya menitis laju...










Tuesday, 28 January 2014

Minuman Paling Best di Pizza Hut ~ Passion Mint Fizz

Saya jarang sekali meminum minuman bergas. Kebiasaannya, jika saya  dan keluarga mengunjungi  Pizza Hut, saya memilih 'sky juice' atau air mineral sahaja. Tapiiiii... itu dulu :)
Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, lidah saya sudah tertambat dengan  satu minuman yang lain. Kalau tak salah, namanya Passion Mint Fizz. Memberi rasa yang sedap dan menyegarkan.
Cuma saya rasa, dari segi 'appearance', Passion Mint Fizz di Pizza Hut Alor Setar lebih menarik berbanding yang di bawah ini.




Saturday, 25 January 2014

Rezeki Itu Hak Allah ~ Yakin Dengan JanjiNya

Percayalah rezeki itu adalah hak Allah. Hanya Dia Yang Berkuasa dan Memiliki Segala-galanya. Jika sudah rezeki, lambat atau cepat, ia tetap akan datang. Bukan hak manusia untuk menentukan rezeki sesiapa. Bukan juga hak manusia untuk menidakkan rezeki sesiapa. Jika ada halangan, anggaplah ia sebagai cabaran.
Teruskan usaha dan doa.... Yakin dengan janjiNya.



Friday, 17 January 2014

22 Tahun Yang Berlalu

Di setiap pagi jumaat yang penuh barakah
22 tahun yang berlalu
Sujud sajadah
Solat Subuh berjemaah
Alunan nasyid Kala Subuh.
Sarapan Nasik lemak dan teh O panas
Yang Indah dan  Memberi Kesan,
Yang Tidak Pernah Dilupakan
Terus Istiqamah

MJSC Ps dan Kenangan




Thursday, 16 January 2014

Misi Mencari Dangai Terbaik

Ini bukan rancangan MasterChef. Juga bukan rancangan realiti memasak yang lain yang mencari peserta paling berbakat menghasilkan hidangan terbaik. Selepas kisah yang saya tulis di entry ini , sekarang saya ada misi baru. Misi mencari dangai terbaik...yang sedap pada selera dan tekak saya. Buat waktu ini, saya belum ada kepakaran membuatnya.  Doakan semoga suatu hari nanti.

Bila saya google, banyaknya hasil paparan tentang dangai ini. Popular juga ya makanan ini. Terus terang, di zaman kanak-kanak saya, kuih dangai dah jadi 'favourite '. Walaupun acapkali diusik dengan makan banyak kelapa, banyak cacing dalam perut... ianya tidak pernah mengubah apa-apa, saya hanya pejamkan mata, tutup telinga... terus menikmati kuih kegemaran saya. 

Kali terakhir saya menikmatinya adalah ketika zaman bujang. Pada masa itu saya menyewa di Bukit Gedong, Bayan Baru, Pulau Pinang bersama rakan-rakan sekerja. Selalunya saya membeli dua jenis kuih, apom lenggang dan juga kuih dangai. Teringat-ingat pula...alahai... 



Monday, 13 January 2014

Memakai Kasut Orang Lain?

Secara peribadi, saya merasakan kita perlu sekali sekala untuk 'memakai kasut orang lain'. Baru kita tahu, di mana tahap keselesaannya, muat atau tidak, carik atau koyak dan sebagainya. Adalah tidak wajar jika kita membuat andaian berdasarkan pemerhatian luaran semata-mata.

Sebagai contoh, bagi si pemakai kasut bertumit tinggi. Secara zahirnya, kita membuat kesimpulan tentang betapa cantiknya si pemakai berjalan dan bergaya dengan kasut bertumit tinggi. 

Tapi pernahkah kita rasai 'kesusahan' yang ditanggung olehnya.
 Sepadankah kasut dengan kaki, atau perlu disumbat tisu dihujung kasut supaya tidak tercabut? 
Mungkin juga kita terfikir, dah tahu keperitan, tetap mahu bergaya?
Sekali lagi kita membuat andaian.

 Adakah pernah terdetik di hati kita bahawa jika diberi pilihan dia pun mahukan kasut mendatar / kasut biasa yang memudahkan pergerakan dan memberi keselesaan yang maksima. Lebih memberi ruang untuk mengejar bas ke tempat kerja misalnya. Lebih udara untuk mengelakkan kaki berbau dan tidak perlu bersusah payah mengawal pergerakan supaya tidak terpelecok. Tapi, disebabkan tuntutan kerja atau beberapa faktor yang tidak kita ketahui, dia terpaksa berbuat begitu.

Kesimpulannya, sebelum membuat apa-apa penilaian tentang seseorang, adalah lebih baik kita meletakkan diri di dalam situasinya. Mungkinkah kita berdaya untuk menempuh kesukaran dan kepayahannya? Jadi, tidak perlu kita membuat andaian yang bukan-bukan jika kita tidak berada di dalam situasinya. Tidak semua perkara patut diceritakan dan bukan semua orang mampu menerimanya secara positif. 

Sunday, 12 January 2014

Agar-agar Pemanis Mulut

Entry makanan kembali lagi... Antara kuih/makanan kegemaran saya adalah agar-agar. Boleh dikatakan makanan selalu ada terutamanya ketika bulan Ramadhan. Agar-agar merah dan buah melaka adalah pemanis mulut bersama-sama menu utama iaitu nasi berlauk. Kata bonda, agar-agar paling mudah disediakan dan disukai oleh anak-anak. Begitu juga buah melaka. Saya dan puteri-puteri saya sukakan agar-agar. Tidak kiralah samada agar-agar merah (agar-agar sirap) atau agar-agar lumut (pandan atau gula merah). Alahai, baru je makan, tapi asyik teringat lagi. 




Friday, 10 January 2014

Istimewanya Mimbar Pencetus Ummah (Akhir) : Edisi Mesti Tonton

Mimbar pencetus ummah (Akhir) sangat menyentuh hati. Berjujuran airmata terutamanya semasa tazkirah dari Dr Ridhuan Tee. Kepada semua anak-anak dan ibu-ibu, tonton lah. Kesannya begitu mendalam. Begitu menginsafkan.

Semoga yang leka akan tersedar, yang lemah bangkit bersemangat dan yang lupa kembali mengingat.



Thursday, 9 January 2014

Thursday Tips #4 : Menyemai Minat Membaca Di Kalangan Anak-anak Kecil

Semua orang tahu, budaya membaca adalah amalan yang baik untuk kita. Jika di kalangan seusia saya, mungkin bahan bacaan lebih menjurus kepada majalah-majalah dekorasi rumah, resepi masakan, buku-buku keagamaan serta motivasi. Minat membaca ini sudah sebati dengan diri saya. Alhamdulillah, puteri-puteri saya juga nampaknya terikut-ikut dengan minat saya.

Tips untuk menyemai minat membaca di kalangan anak-anak kecil
  1. Membawa anak-anak ke perpustakaan atau ke kedai bukuKebiasaannya, saya dan suami membawa puteri-puteri kami ke Popular Bookstore Alor Setar (Tesco Mergong) atau ke Hasani Bookstore Sungai Petani (berdekatan Pasaraya Billion). Perpustakaan awam yang pernah dikunjungi adalah Perpustakaan Jitra (bertentangan dengan Bustani Hotel, Jitra) atau Perpustakaan Awam Sungai Petani (bersebelahan dengan Taman Jubli Perak).
  2. Buku/majalah dijadikan hadiah kecemerlangan atau hadiah harijadi, berselang-seli dengan hadiah lain untuk tahun berikutnya.
  3. Bagi kebebasan kepada anak-anak untuk memilih buku yang disukai. Di kebanyakan kedai, ruang dan jenis buku telah dibahagikan mengikut kategori (umur, ilmiah, novel dll). Sebagai ibubapa, kita berikan panduan  tentang kategori yang sesuai untuk anak-anak dan berikan mereka kebebasan untuk membuat pilihan.
  4. Bacakan buku cerita sebelum tidur kepada anak-anak. Selain dari merangsang minda, cerita-cerita yang bersesuaian seperti kisah nabi, cerita teladan mahupun cerita rakyat, jika kena intonasi dan gaya, pastinya akan menjadi kesukaan anak-anak.
  5. Surprise Day. Sebagai ibubapa, apakata lebihkan sedikit sensitiviti ataupun kepekaan terhadap minat anak-anak. Jika anak-anak bercerita atau menunjukkan minat tentang sesebuah buku/majalah yang ditontonnya di tv,  cuba dapatkan buku tersebut dan beri pada mereka pada 'Surprise Day'. Dengan teknologi yang ada, pencarian kita pastinya akan menjadi lebih mudah.

Tuesday, 7 January 2014

Rasa Terharu Datang Lagi

Pantas sungguh masa berlalu. Puteri-puteri kian membesar dan semakin pandai mengusik hati dan perasaan saya. Pagi ini saya mendapat diari  dan pendrive yang sepadan warnanya. Kedua-duanya adalah keperluan di dalam pekerjaan saya. Menurut suami, puteri-puteri saya yang beriya-iya memilih dan mencadangkan warna ungu kerana ianya warna kegemaran saya. Sungguh terharu rasa hati saya. Saya semakin menyedari, puteri-puteri saya semakin bijak dan  mempunyai citarasa serta sensitiviti yang tersendiri. Pastinya saya amat menghargai pemberian mereka. Walau di mana saya berada, mereka tetap di hati saya. Dunia pekerjaan saya tidak pernah memisahkan saya dan puteri-puteri saya. Seolah-olah setiap saat mereka di samping saya. Pemberian mereka memenuhi ruang khas di tempat kerja saya. Memberi semangat dan kekuatan... Saya doakan semoga puteri-puteri saya menjadi anak-anak yang solehah dan berjaya di dalam kehidupan di dunia dan akhirat. Sesungguhnya rasa terharu itu datang lagi...
Terima kasih puteri-puteri tersayang


Monday, 6 January 2014

Sinar Cahaya 1 Januari 2014

Sudah enam hari kita berada di tahun 2014. Setelah hari-hari di penghujung tahun 2013 sedikit mendung dan hujan, nampaknya Allah memberi sinar cahaya yang terang di hari pertama tahun 2014. Semoga tahun ini akan menjadikan kita insan yang lebih baik dari tahun lepas.Sama-samalah kita berusaha meningkatkan keimanan dan ketaqwaan. Dengan niat dan azam yang suci, in shaa Allah, akan dipermudahkan segala urusan kita.



Friday, 3 January 2014

Ulasan Hotel: TH Hotel & Convention Centre, Alor Setar, Kedah

Secara umumnya, memang rasa tak  logik pun  ada di  dalam fikiran saya. Bukan apa...saya dan keluarga menginap di hotel yang jaraknya cuma 8 km dari rumah saya. Masa yang diambil untuk menyiapkan 'travel bag' jauh lebih lama dari masa perjalanan ke hotel. Walaupun begitu saya rasa berbaloi.Saya dan suami sependapat. Kami tidak mempunyai hari cuti yang sama tapi waktu-waktu keemasan untuk bersama keluarga kecil kami mesti dihabiskan dengan sesuatu yang berlainan ataupun setidak-tidaknya dalam suasana yang berbeza. Apatah lagi cuti kerja saya  dan suami yang terhad di waktu puteri-puteri saya menghabiskan cuti persekolahan mereka. Jika di awal cuti, kami berjalan-jalan di Cameron Highland, pengakhiran cuti sekolah, kami pilih destinasi yang berdekatan.  Tapi, tidaklah menjangka sedekat ini :)

Jom  tengok apa hasil  Siri Jejak, Eksplorasi & Pandangan kali ini.








Pandangan peribadi saya: 9.5/10
  • Perkhidmatan dan layanan yang diberikan oleh staff-staf di sini memang kelas pertama. Cuma, seelok-eloknya sediakan wang tunai untuk pembayaran bil di kaunter. Mungkin disebabkan hotel ini masih baru, jadi mesin kadnya masih on-off semasa saya menginap di sana.
  • Sarapan pagi yang disediakan begitu banyak pilihan, sesuai untuk semua peringkat umur dan citarasa.
  • Suasana hotel yang dikelilingi sawah padi begitu mendamaikan.
  • Kolam renang yang 'Islamic friendly' (bahagian lelaki dan wanita dipisahkan). Belum pernah saya jumpa di hotel-hotel yang pernah saya inap sebelum ini.
  • WIFI~ Laju :)
  • Tempat letak kenderaan yang luas dan mampu menampung bilangan kenderaan tetamu yang banyak. Tempat parkir untuk orang kelainan upaya juga disediakan.
  • Gerai makan/restoran dan kedai runcit sangat banyak pilihan...Di sepanjang jalan Titi Gajah (dari Alor Setar ke Kepala Batas - kedua-dua arah). 
  • Berhampiran lapangan terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar.
  • Jarak ke Bandaraya Alor Setar (Menara Alor Setar, Masjid Zahir, Pekan Rabu, Stadium dll) hanya lebih kurang 11 km.
Saya yakin hotel ini boleh dimasukkan ke dalam hotel pilihan anda jika berkunjung ke Alor Setar. Rancang percutian lebih awal sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.

TH Hotel & Convention Centre, Alor Setar, Kedah 
Lot 3860, Mukim Titi Gajah, 
Seksyen 2, Bandar Anak Bukit, 
Daerah Kota Setar, Kedah Darul Aman
Telefon: 04-7403 666
Faks: 04-7145 666
Emel: centralresv@holidayvilla.com.my
Klik Di Sini Untuk Maklumat Terperinci

Thursday, 2 January 2014

Jambu Susu Dari Kangar Ke Kulai

Petang tadi, dari tempat kerja saya terus singgah ke pasar malam berhampiran rumah. Mencari  beberapa bahan mentah untuk dimasak sebagai hidangan malam nanti. Memandangkan hari ini, saya sedikit terlewat pulang, saya bergegas ke kereta sebaik sudah membeli bahan-bahan mentah yang saya telah senaraikan lebih awal. Ini membantu saya fokus kepada bahan-bahan yang bakal dibeli. Dapat menjimatkan masa.

Sekilas, di antara penjual-penjual pasar malam bahagian sayur dan ikan, saya terpandang sesuatu yang sudah lama tidak singgah di mata saya. Alahai.... Buah jambu susu. Kali terakhir saya menikmatinya adalah sewaktu saya mengandungkan anak yang sulung, di tahun 2005. Jauh perjalanannya jambu susu itu, dari Kangar ke Kulai dan menikmatinya di Stulang Laut. Saya tidak pasti kenapa ianya jadi begitu, mungkin penangan bakal ibu yang mengidam. Alhamdulillah, mungkin rezeki saya, walaupun sukar untuk didapati, tapi ketika saya nak, Allah permudahkan suami untuk mencarinya. Mungkin berkat kesabaran 'suami-isteri hujung minggu'. Seorang di utara dan seorang di selatan. Nanti-nanti saya ceritakan pasal PJJ ini.

Berbalik kepada cerita pasar malam tadi, nampaknya jika dahulu...jambu susu rezeki saya, hari ini ianya milik insan lain. Pakcik itu hanya mempunyai 2 biji jambu susu sahaja lagi untuk dijual. Kebetulan, semasa saya memegangnya, ada seorang adik yang sarat mengandung juga bertanyakan jika ada buah jambu susu lagi. Saya rasa, saya tidak perlukannya sekarang. Jadi kedua-duanya saya berikan kepada adik itu. Terharu dia. Saya doakan semoga bayinya lahir dengan sihat, comel dan sempurna. Suatu waktu dahulu saya pernah berada di dalam situasinya. Pastinya apa yang dirasa, pernah saya rasai.

Selain dari jambu susu, saya sukakan jambu bola juga. Warnanya merah dan rasanya sedap dicicah 'garam belacan'. Kecur air liur teringatkannya.

Sumber : Jambu Susu


Sumber : Jambu Bola