Thursday, 2 January 2014

Jambu Susu Dari Kangar Ke Kulai

Petang tadi, dari tempat kerja saya terus singgah ke pasar malam berhampiran rumah. Mencari  beberapa bahan mentah untuk dimasak sebagai hidangan malam nanti. Memandangkan hari ini, saya sedikit terlewat pulang, saya bergegas ke kereta sebaik sudah membeli bahan-bahan mentah yang saya telah senaraikan lebih awal. Ini membantu saya fokus kepada bahan-bahan yang bakal dibeli. Dapat menjimatkan masa.

Sekilas, di antara penjual-penjual pasar malam bahagian sayur dan ikan, saya terpandang sesuatu yang sudah lama tidak singgah di mata saya. Alahai.... Buah jambu susu. Kali terakhir saya menikmatinya adalah sewaktu saya mengandungkan anak yang sulung, di tahun 2005. Jauh perjalanannya jambu susu itu, dari Kangar ke Kulai dan menikmatinya di Stulang Laut. Saya tidak pasti kenapa ianya jadi begitu, mungkin penangan bakal ibu yang mengidam. Alhamdulillah, mungkin rezeki saya, walaupun sukar untuk didapati, tapi ketika saya nak, Allah permudahkan suami untuk mencarinya. Mungkin berkat kesabaran 'suami-isteri hujung minggu'. Seorang di utara dan seorang di selatan. Nanti-nanti saya ceritakan pasal PJJ ini.

Berbalik kepada cerita pasar malam tadi, nampaknya jika dahulu...jambu susu rezeki saya, hari ini ianya milik insan lain. Pakcik itu hanya mempunyai 2 biji jambu susu sahaja lagi untuk dijual. Kebetulan, semasa saya memegangnya, ada seorang adik yang sarat mengandung juga bertanyakan jika ada buah jambu susu lagi. Saya rasa, saya tidak perlukannya sekarang. Jadi kedua-duanya saya berikan kepada adik itu. Terharu dia. Saya doakan semoga bayinya lahir dengan sihat, comel dan sempurna. Suatu waktu dahulu saya pernah berada di dalam situasinya. Pastinya apa yang dirasa, pernah saya rasai.

Selain dari jambu susu, saya sukakan jambu bola juga. Warnanya merah dan rasanya sedap dicicah 'garam belacan'. Kecur air liur teringatkannya.

Sumber : Jambu Susu


Sumber : Jambu Bola

No comments:

Post a Comment