Thursday 1 May 2014

Thursday Tips #4 : Apabila 'Tudung Tak Jadi' Merosakkan Mood

Tadi...sewaktu mengisi borang cuti tahunan, saya berbual dengan kakak satu tempat kerja. Beliau memiliki anak perempuan muda belia yang baru mendapat keputusan SPM. Kini sedang bekerja sementara di kedai komputer. Katanya, setiap hari Isnin, beliau menjadi risau. Bukan sebab 'Monday Blues' tetapi sebab anak daranya yang jika 'tudung tak jadi' di pagi Isnin, maknanya seminggu 'mood' akan entah apa-apa. 
Pening kepala melayan karenahnya.

Saya tersenyum.. zaman saya belajar di ijazah pertama dulu, teman serumah saya juga berperangai sama. Pagi-pagi Isnin, tak siapa berani berbual atau menegurnya walaupun sahabat paling baik...selagi dia tidak siap memakai tudung. Ketika itu tudung bawal memang 'hot' tetapi dengan anak tudung melekap, sememangnya ada kemungkinan tudung tersebut akan turut tertempek ke dahi. Dia memang pantang begitu. Yang dia nak adalah tudung muncung terletak. Silap-silap haribulan, kalau tudungnya tak menjadi, sanggup pula dia tidak ke kelas sebab 'stress'.

Saya juga peminat tudung bawal. Malahan sehingga kini, saya masih memakai tudung bawal kerawang. Semasa berada di UK, sebulan sebelum menyambut Ramadhan, setiap tahun, keluarga saya pasti mengirimkan baju kebangsaan untuk kami sekeluarga. Khas untuk saya, ada beberapa helai tudung bawal dikirimkan bersama yang ala-ala sedondon dengan baju kurung. Tudung berwarna krim tidak pernah ketinggalan. Jadi, apakata kita tengok, dua tips yang mungkin boleh membantu mengatasi masalah ini.

Tips mengelakkan 'tudung tak jadi' merosakkan mood
  • Pertama: Selain daripada menyediakan tudung sedondon dengan baju, saya akan menyediakan (lebih awal) satu tudung lain yang senang dipadankan dengan semua warna baju. Sentiasa tersedia, siap berseterika dan tergantung di penyangkut. Di dalam keadaan nak cepat, kecemasan atau tudung yang disediakan tak jadi, capai sahaja tudung 'spare' tersebut. Contoh warna tudung adalah krim dan putih.
  • Kedua : Tudung 'spare' tersebut hendaklah yang biasa dipakai. Jangan pula tudung yang masih berbau kedai,yang tag harga pun masih terlekat.. Tudung 'spare' ini mestilah yang sah-sah tidak pernah mencetuskan masalah sebelum ini. Letak kerongsang, sarung, buat lipatan dan letakkan peniti.

Nota : Selamat Hari Pekerja 1 Mei 2014


No comments:

Post a Comment