Wednesday, 18 September 2013
Sunday, 15 September 2013
Kerusi Comel Untuk Aktiviti Santai Anak-anak
Petang tadi saya bersama suami dan anak-anak keluar mencari pasangan bagi kerusi jari merah ini. Kerusi yang dipanggil Si Merah ini milik anak kecil saya. Buat sementara, ianyanya ditempatkan di sudut tangga. Penempatan sementara sehingga pasangannya ditemui.
Sebenarnya, sebelum ini pasangannya berwarna ungu. Milik anak sulung saya. Tapi rezeki Si Ungu tidak lama bersama kami. Ianya patah riuk ketika kami berpindah rumah Februari lalu.
Kesian kakak, sukar untuk mencari kerusi gantinya untuk warna yang sama. Puas juga mencari di semua kedai perabut di pekan sekitar kawasan rumah Bonda tapi, bukan rezeki. Tidak bertemu barang yang dicari. Yang ada hanya kerusi jari ungu versi dewasa. Kedai perabut tempat saya beli haritu pun tiada stok.
Saya akan usahakan untuk mencari pasangannya supaya saya dapat tempatkan kedua-duanya di bilik anak-anak saya secepat mungkin. Jika tidak, biarlah si merah terus di situ. Setia menanti pasangan barunya.
Nota: Kerusi ini tidak boleh dikongsi. Hanya muat-muat seorang kanak-kanak. Saya rasa konsep kerusi ini sesuai untuk aktiviti santai anak-anak samada membaca atau menonton tv. Saya sukakan rekabentuknya :)
Thursday, 12 September 2013
Di Mana Saya Boleh Dapatkan Durian Crepe Paling Sedap di Kawasan Utara?
Hari ini saya tangguhkan entry Thursday Tips bagi memberi laluan kepada DURIAN CREPE. Seikhlasnya, walaupun fenomena durian crepe sudah lama diperkatakan, tapi sehingga kini belum rezeki saya untuk merasainya.
Misi pencarian saya masih berterusan walaupun sekejap tenggelam sekejap timbul. Semalam, di dalam kesesakan lalulintas pulang ke rumah, melalui tapak pasar malam, saya ternampak durian. Ingatan terhadap durian crepe datang kembali. Selesai makan malam, sambil membantu sikecil saya melukis, saya terjumpa gambar ini di Amie's Little Kitchen. Lagilah membuatkan saya teringat-ingat.
Sumber : Klik Di Sini
Berdasarkan carian saya di internet, kebanyakan chef-chef dan penjual DURIAN CREPE berada di luar kawasan Utara. Saya meminta pertolongan, sesiapa yang tahu di mana boleh dapatkan DURIAN CREPE paling sedap di Kedah/Perlis/Penang silalah hubungi saya di:
mrslavenderdaisy@gmail.com
Terima kasih ya!
Nota: Memang benar, pepatah Inggeris '' Don't Judge A Book By Its Cover'' tapi pada saya ''The First Impression Always Help''. Tengok gambar pun dah terasa sedapnya.
Wednesday, 11 September 2013
Tuesday, 10 September 2013
UPSR 2013 : Selamat Maju Jaya
Saya pernah melaluinya suatu waktu dahulu. Setiap hari, Bonda sediakan sepasang pakaian sekolah yang tergantung bergosok bersama-sama sepasang kasut sekolah yang berkapur bersih. Kemudian, Bonda siapkan nasi goreng kelapa dan teh suam kegemaran saya. Hari-hari yang mendebarkan tapi saya rasa begitu istimewa. Ayahbonda bekalkan kata perangsang sambil memeluk dan mencium dahi saya. Saya rasa bersemangat sekali. Sesungguhnya DOA ibubapa dan GURU-GURU saya telah menjadikan siapa saya hari ini... DENGAN IZIN ALLAH. Alhamdulillah.
Untuk anak-anak yang sedang menghadapi peperiksaan ketika ini:
Nota : Kepada guru-guru saya di SKMP, tiada ucapan yang mampu saya zahirkan dengan kata-kata. Hanya Allah yang akan memberi ganjaran sebaiknya di atas segala jasa, ilmu dan sokongan yang diberikan. Terima kasih, Cikgu!
Monday, 9 September 2013
Konsep Kad Undangan Perkahwinan Yang Ringkas Tapi Sangat Menarik
Alhamdulillah, walaupun banyak jemputan dan memandu ke sana ke sini, akhirnya dapat juga menghadiri majlis perkahwinan ini. Saya sukakan konsepnya. Dari Kad Undangan Perkahwinan, Hiasan Pelamin dan cenderahati tetamu, semuanya saya suka. Ringkas tapi sangat menarik. Warna-warna yang dipilih begitu mendamaikan.
When less is more!
'Boarding Pass'
Nota: Terima kasih KPS di atas jemputan ini. Semoga berbahagialah pasangan ini di dunia dan akhirat.
Saturday, 7 September 2013
Nasi Kerabu Kelantan Versi Utara Mai
Alhamdulillah, rezeki hari ini.
Kakak buatkan nasi kerabu kelantan versi utara mai.
Nasi kerabu tanpa Budu beserta solok lada versi Kedah.
Memang ada kekurangan tetapi tetap sedap.
Nota : Terkenang nasi kerabu kak As. Super Duper Delicious. Selamat Mengerjakan Ibadah Haji. Semoga mendapat haji yang mabrur. InsyaAllah
Friday, 6 September 2013
Apa Lagi Kegunaan Sampul Duit Raya?
Seingat saya, antara perkara yang mengungguli musim perayaan adalah Sampul Duit Raya. Biasanya, kanak-kanak akan mengambil duit sahaja. Sampul akan dibuang. Tapi, berdasarkan pemerhatian saya, abang saya biasanya akan mengumpul semua sampul duit raya anak-anaknya. Duit yang telah dikira dimasukkan ke akaun bank masing-masing.
Di kampung saya, seawal hari raya kedua, sudah ada yang mengadakan majlis perkahwinan. Diikuti, hari-hari berikutnya, banyak yang mengadakan majlis walimatul urus. Jadi, selain daripada memasukkan duit untuk diberi kepada kanak-kanak, sampul duit raya juga boleh digunakan untuk mengisi duit untuk disedekahkan kepada tuan rumah kenduri. Di zaman saya kecil-kecil-kecil dulu, Ayahanda saya biasanya membeli sampul berbelang merah-biru yang bersaiz kecil/pendek. Tapi sekarang, di zaman abang saya, budaya bersedekah ini masih ada, cumanya sedikit kelainan dari segi sampulnya.
Di kampung saya, seawal hari raya kedua, sudah ada yang mengadakan majlis perkahwinan. Diikuti, hari-hari berikutnya, banyak yang mengadakan majlis walimatul urus. Jadi, selain daripada memasukkan duit untuk diberi kepada kanak-kanak, sampul duit raya juga boleh digunakan untuk mengisi duit untuk disedekahkan kepada tuan rumah kenduri. Di zaman saya kecil-kecil-kecil dulu, Ayahanda saya biasanya membeli sampul berbelang merah-biru yang bersaiz kecil/pendek. Tapi sekarang, di zaman abang saya, budaya bersedekah ini masih ada, cumanya sedikit kelainan dari segi sampulnya.
Bagi saya lebih mudah untuk menghadiri majlis perkahwinan dengan membawa hadiah berbanding duit. Saya tidak pandai salam berkaut (istilah tempat suami). Jadi, lebih mudah saya ke pusat membeli-belah, pilih hadiah dan kertas pembalut, buat pembayaran dan ke kaunter perkhidmatan pelanggan untuk bantuan membalut percuma. Paling tidak pun, masukkan barangan yang dibeli ke dalam kotak hadiah yang berhias cantik. Bawa ke majlis perkahwinan dan hulurkan saja. Mudah kan, cuma kosnya lebih sedikit. Jika kita berniat sedekah, sikit atau banyak bukan persoalannya.
Nota : Ada lagi tak fungsi lain Sampul Duit Raya ni?
Thursday, 5 September 2013
Thursday Tips #3 : Elak Panik Ketika Di Kaunter Pembayaran
Kita kebiasaannya mudah sangat panik dengan sesuatu keadaan yang kadangkala kita sendiri ciptakan. Jika situasi yang tidak terduga, mungkin ianya bukan sesuatu yang luar biasa. Sebagai contoh, situasi yang kita ciptakan adalah, apabila kita membeli-belah penuh satu troli. Kita pun menolak troli ke kaunter pembayaran. Sekali, bila buka sahaja beg tangan, berpeluh-peluh kita mencari, di mana dompet kita. Beg tangan pula penuh dengan ruang-ruang yang dipisahkan (partition). Ketika itu, di belakang kita, ramai yang berbaris menunggu giliran. Memang, hampir lekang zip di beg tangan, kita buka-tutup, belum lagi yang berbutang. Silap-silap tercabut butang kita kerjakan.
Sebenarnya, kita boleh elakkan situasi sebegini. Kita sudah tahu ataupun sudah merancang untuk keluar membeli barang dapur misalnya, apa salahnya kita ambil masa sekurang-kurangnya seminit untuk membuat semakan yang berupaya untuk mengeluarkan kita dari terperangkap dalam situasi ini. Jom kita tengok, apa tips yang mungkin dapat kita amalkan.
Tips Mudah untuk mengelakkan panik ketika di kaunter pembayaran
- Tempat Kebiasaan Meletakkan Dompet : Di dalam beg tangan, kebiasaannya ruang-ruang yang ada akan dipisahkan oleh bahagian berzip, atau berbutang. Jika sudah menjadi kebiasaan kita meletakan dompet di ruang paling depan, pastikan sebelum membeli-belah, kita periksa dahulu, adakah kita sudah meletakkan dompet tersebut di tempat kebiasaannya.
- Warna Dalaman Beg Tangan Dan Dompet : Kadang-kadang keseragaman warna juga menimbulkan masalah. Sebagai contoh, jika bahagian dalam beg tangan kita berwarna hitam, dompet kita juga bewarna hitam, dengan saiz pula yang lebih kecil, pastinya menimbulkan panik ketika di kaunter pembayaran. Kena pula, ruangan di dalam beg agak banyak. Jika terselindung sedikit pun susah kita mencarinya, walhal kita dah buka-tutup ruang tersebut beberapa kali. Seeloknya, jika ruangan dalam beg kita berwarna merah, cuba tukarkan warna dompet kita dengan warna hitam, hijau terang atau biru. Warna kontra ini lebih memudahkan misi pencarian kita.
- Wang Tunai atau kad Debit/Kredit : Apabila kita hendak keluar berbelanja, perkara utama yang kita perlu pastikan adalah jumlah wang tunai yang ada di dalam dompet kita. Jika senarai barangan yang diperlukan sudah ada, lebih mudah kita menganggarkan jumlah yang bakal kita belanjakan. Di masa yang sama pastikan kita membuat back-up kad Debit kerana sekarang ini, rata-ratanya sudah menerima penggunaan kad Debit. Kad kredit boleh juga digunakan tetapi pada saya, ianya akan lebih kepada menggalakkan pembelian di luar kawalan dan seterusnya dibebani hutang jika kita gagal melunaskannya. Jika pembelian kita dalam jumlah penggunaan wang tunai yang banyak, ia juga akan menimbulkan kerisauan dan faktor keselamatan. Untuk keadaan ini, adalah lebih baik kita setkan awal-awal, pembayaran akan dibuat menggunakan kad Debit sahaja. Ianya lebih selamat.
Nota: Kalau ada yang mempunyai tips lain, boleh kongsikan bersama juga.
Wednesday, 4 September 2013
Tuesday, 3 September 2013
Merah Sangatlah Mak Ngah! Eh...Saya Bukan Mak Ngah lah!!!
Saya tidak pasti samada ianya adalah suratan atau kebetulan sahaja. Seperti tajuk lagu pula ayat pengenalan hari ini. Sebenarnya, baru tadi saya terperasan...Rupanya, kebanyakkan barang-barang yang saya miliki berwarna merah sedangkan ianya bukanlah warna kegemaran saya. Dari sebesar-besar kerusi kerja, beg, komputer riba sehinggalah ke kotak pensil. Semuanya berwarna merah. Dan...saya juga bukannya Mak Ngah yang sinonim dengan 'Merahnya Mak Ngah'... Tidak kira samada di sebelah suami atau di sebelah saya sendiri, saya bukannya anak yang tengah. Kenapa agaknya ya?
Nota: Nanti-nanti akan saya update gambar-gambar barangan lain yang berwarna merah, yang saya miliki. Yang pasti, saya tiada baju yang didominasi oleh warna merah.
Monday, 2 September 2013
Koleksi Pemberian Anak-anak
Berbeza sekali tempat kerja orang yang belum berkahwin dengan seorang ibu yang bekerja. Jika dulu, ruangan tempat kerja saya penuh dengan barangan berwarna dan bercorak mengikut kesukaan saya tetapi sekarang sudah jauh berubah. Saya utamakan pemberian insan-insan yang saya sayang. Walaupun bekerja, saya mahu mereka sentiasa dekat dengan saya. Kasih sayang mereka adalah kekuatan saya. Saya mahu menghargai anugerah yang Allah pinjamkan kepada saya di aras paling tinggi. Bonda selalu berpesan, amalkan berbesar hati menerima pemberian anak-anak dan ucapkan terima kasih sambil memeluknya. Moga-moga ikatan kasih sayang yang terjalin, bertambah kukuh dan erat.
Koleksi ini adalah di antara hasilnya :)
Nota: Mug adalah hadiah percuma dengan pembelian ubat gigi manakala bekas makanan adalah hadiah cabutan bertuah. Anak-anak bungkuskan dan beri pada saya semasa sambutan Hari Wanita. Terima kasih sayang!
Subscribe to:
Posts (Atom)