Monday, 30 December 2013

Melangkah ke alam persekolahan... Ibubapa dan anak, siapa lebih teruja?

Lebih sebulan, jalan yang saya lalui untuk pergi dan pulang dari tempat kerja, kelihatan kosong dan sepi tanpa sebarang kesibukan anak-anak ke sekolah. Pagi ini, situasi rutin itu telah kembali tetapi tidak sesibuk selalunya. Kelihatan si comel yang bakal memulakan langkah ke alam persekolahan dengan pakaian sekolah serba baru dan anak-anak yang meningkat remaja memulakan langkah ke persekolahan menengah ditemani waris masing-masing. 
Saya tidak pasti apa namanya hari ini tetapi ianya lebih kepada sesi orientasi sebelum memulakan persekolahan secara rasminya pada 1 Januari 2014. Kelihatan bersemangat sekali anak-anak ini. Semoga setiap langkah mereka untuk mencari ilmu akan diberkati dan menjadikan mereka manusia yang berguna di dunia dan akhirat.
Saya belum melalui pengalaman ini walaupun puteri sulung saya bakal melangkah ke darjah 3, rabu ini. Dia memulakan darjah satunya lewat dua bulan dari rakan-rakan sekelasnya iaitu pada 1 Mac 2012, 3 hari selepas ketibaan kami sekeluarga di tanahair. Jetlag pun belum hilang, dia sudah bersemangat untuk bersekolah di Malaysia. Segala urusan pendaftaran dan dokumen yang berkaitan dengannya saya buat lebih awal iaitu semasa berada di luarnegara dan dibantu dengan kakak saya yang berada di Malaysia. Ini bagi memastikan puteri saya tidak menunggu lama apabila tiba di tanahair. 
Alhamdulillah, dia  dapat memulakan persekolahan  seperti yang dirancang dan dengan izin Allah juga, dia cepat menyesuaikan diri dengan situasi sekolah baru yang nyata berbeza dengan dunia persekolahannya sebelum ini. Jadi, bila melihatkan situasi tadi, saya menjadi tidak sabar dan teruja untuk melihat puteri kedua saya melangkah dan bersemangat dengan uniform sekolah rendah. Puteri kedua saya tidak mahukan baju nursery, dia mahu kelihatan seperti kakaknya. Jadi, dalam usaha memujuk saya belikan 2 pasang kasut sekolah untuknya, kiki lala dan bbg sama seperti kakaknya. InsyaAllah, Januari 2015, jika tiada aral, saya mahu mengiringinya memulakan sesi persekolahan.
Pada saya... anak dan ibu sama-sama teruja. Saya pasti suami juga teruja, cuma tidak secara terang-terangan. Kalau tak, takkan asyik  google keperluan sekolah  dan sibuk memilih kasut yang sesuai dan selesa untuk puteri-puterinya :)

Thursday, 26 December 2013

Siri Jejak, Eksplorasi & Pandangan : Januari 2014

Sudah lama saya menyimpan impian untuk mengabadikan pengalaman berada di satu-satu tempat dan memberi pandangan peribadi saya di laman maya ini, samaada di dalam atau di luarnegara. Namun, di atas beberapa komitmen yang lebih penting, hasrat dan impian itu sekadar menjadi angan-angan sahaja. Aktiviti menulis di fotopages dan blog kemudiannya juga terpaksa dihentikan. Sukar bagi saya untuk mengorek kembali semua gambar-gambar yang tersimpan sambil mengingati kembali kisah ketika itu. Pastinya ia mengambil masa. 

Jadi,  bersempena Tahun Melawat Malaysia 2014,  bermula Januari nanti, saya akan memulakan dahulu Siri Jejak, Eksplorasi & Pandangan dengan destinasi terkini.  Saya anggapkan penulisan ini sebagai kenangan generasi saya. Dan jika ada manfaatnya, mungkin sebagai panduan kepada semua yang membaca blog ini. Tetapi, saya adalah 'family type', ke sana-sini tidak pernah berseorangan. Jadi lebih kepada panduan perjalanan berkeluarga. Untuk adik-adik bujang saya, mungkin boleh diubahsuai mengikut keselesaan sendiri :)

Saya mengalu-alukan sebarang cadangan destinasi menarik di dalam Malaysia untuk di'email'kan kepada saya di mrslavenderdaisy@gmail.com
In shaa Allah, saya & keluarga akan ke sana suatu hari nanti.  Cadangan anda pastinya sangat saya hargai. Terima kasih





Semangat Diri : Jangan Berputus Asa

#5  : Buat seorang adik


Tuesday, 24 December 2013

Semangat Diri : Bacalah

#3 : Buat seorang adik

Al- Ma'thurat- Surah Yaasin - Doa
Bersyukur Saat Diuji
Tuhan Sedang Menguji Kita
La Tahzan - Dont Be Sad - Jangan Bersedih


Monday, 23 December 2013

Semangat Diri : Jentayu

#2 : Buat seorang adik


Serangkap lagu jentayu buatmu...
Jangan Mengalah.....Teruskan perjuangan...

Jentayu...Patah sayap bertongkat paruh
Jentayu...Patah paruh bertongkat siku
Jentayu...Patah siku bertongkat dagu
Jentayu...Patah dagu bertongkat kuku
Pinjamkanlah hatimu
Untuk semua
Sumber Lirik


Sunday, 22 December 2013

Semangat Diri: Fikirkan Boleh

#1 : Buat seorang adik

Menangislah jika ia mampu meredakan bebanan perasaan
Bertenanglah untuk membina semula keyakinan
Berusahalah dengan iringan doa dan harapan
Jangan sesekali hilang semangat perjuangan




Thursday, 19 December 2013

FROZEN : Antara Ketawa dan Airmata

Sebenarnya ni aktiviti keluarga yang dah dekat tiga minggu berlalu...Tiket 30 November 2013. Kan! Baru sempat nak buat entry. Biasanya menonton wayang dan bermain boling dilakukan secara pakej. Jika masa tayangan lambat lagi, kami bermain boling dahulu. Jika dah kesuntukan masa, tengok wayang dahulu.

 Ini bukanlah aktiviti rutin kami berempat.  Sekadar memanfaatkan masa berkualiti bersama. Secara dasarnya..kunjungan adalah mengikut kesesuaian cerita dengan puteri-puteri saya sahaja. Biasanya kena survey dulu waktu tayangan. Untuk dapatkan tempat duduk paling sesuai ....di tengah-tengah. Di JM ni, kedudukan E7, E8, E9, E10 atau F7, F8, F9 dan F10 saya rasakan paling strategik. Betul-betul mengadap skrin. Masa tayangan pertama untuk hari itu juga memainkan peranan bagi mengelakkan kesesakan.

Secara ringkasnya, cerita ini sungguh menarik. Babak-babak lucu disusuli dengan ketawa penonton yang rata-ratanya di usia puteri-puteri saya. Ibubapa tumpang juga. Tapi bila tiba saat-saat yang menyedihkan, suasana menjadi suram seketika. Di dalam kegelapan airmata saya berjujuran. Sedihnya....

 

FROZEN
FROZEN mengisahkan 2 beradik Puteri Anna dan Permaisuri Elsa. Betapa cinta sejati antara kedua-duanya akhirnya melumpuhkan sihir yang dimiliki si kakak. Sememangnya emosi turun naik. Lagu-lagu pun sedap didengar. Kalau versi Bahasa... terserlah kehebatan Marsha menyanyikan lagu BEBASKAN.
Good Job Marsha.
Cerita yang sungguh menarik, puteri-puteri saya begitu teruja dan gembira. 
Memang rasa nak tengok lagi... Versi Inggeris pula.
Sesiapa yang belum berkesempatan, bawalah pasangan dan putera puteri bersama. Mesti terhibur.

Tuesday, 17 December 2013

Kehebatan Jagung Mutiara Cameron Highland

Saya pasti, jika sebut sahaja jagung mutiara, semua sudah terbayang-bayang Cameron Highland. Sepanjang pembacaan saya di blog-blog pun, ramai yang menceritakan tentang betapa ruginya jika ke CH tanpa merasai jagung mutiara ini. Begitulah Kehebatan Jagung Mutiara Cameron Highland. Alhamdulillah, saya dan keluarga dapat menikmati keenakan jagung mutiara ini... Kedua-dua versi, rebus dan bakar yang dibeli di Pasar Malam Brinchang. Cukup puas hati. Memang hebat!
Tak cukup dengan itu, dalam perjalanan pulang, saya membeli jagung mutiara segar ini. Cumanya saiznya sedikit kecil dari yang saya makan. Ke saya salah tempat membelinya? Erm...


Nota: Orang kata kalau menanam jagung tidak boleh bercakap. Nanti isinya jarang.  Siapa pernah cuba angkat tangan :)

Tuesday, 10 December 2013

Mengumpul Keratan Akhbar Sebagai Hobi

Di zaman kanak-kanak, hobi saya adalah mengumpul keratan akhbar tentang perkara-perkara yang menarik minat saya ketika itu. Dari cerita semasa, kartun, puisi, lirik lagu sehinggalah gambar pelakon (Faizal Hussein) dan pemain bola sepak Kedah (Abbas Saad dan Nizam Adzha). Semua keratan ini saya simpan di dalam fail dan  album gambar. Aktiviti saya ini bermula apabila Ayahanda saya melanggan suratkhabar harian setiap hari dengan bayaran bulanan. Setiap hari, Uncle Maniam akan membaling gulungan suratkhabar ke beranda rumah. Sebenarnya, adalah menjadi satu kemestian untuk saya setiap kali balik sekolah untuk membelek suratkhabar walaupun saya tidak faham sangat isu-isu semasa. Saya mula meninggalkan hobi ini apabila diterima masuk ke sekolah menengah berasrama.
Semasa mengemas 'koleksi' suratkhabar di bilik bacaan semalam, saya terjumpa fakta di bawah dan saya terus mengguntingnya. Menarik kan?
 Ermm... terfikir juga, perlu atau tidak saya sambung kembali hobi ini...Kalau pun ada episod seterusnya, topik keratan akhbar pasti akan sedikit berbeza, sejajar dengan pertambahan usia dan situasi semasa.


Monday, 2 December 2013

Makan Tengahari di Hello Burger

Menu makan tengahari yang dipilih kali ini adalah burger. Sengaja mengubah selera bersama rakan sekerja. Roti Burger berwarna hitam ini dipanggil Bamboo Charcoal (kalau tak salah). Ada macam-macam pilihan untuk diletakkan di antaranya. Saya pilih Hawaiaan beserta salad. Bila makan di sini, sungguh! Ia mengingatkan saya tentang Lunch Date di Baguette Express dengan menu Baked Potatoes.

Set yang saya pilih. Ada burger, ada kentang goreng dan air minuman. Boleh juga kalau nak minuman bergas.


Susunatur di dalam restoran Hello Burger. Mungkin hari bekerja, tak ramai pelanggan ketika saya tiba. Servis pun cepat.

  Kaunter untuk memilih dan membayar.