Pernah dengar tak buah asam renda? Kalau di tempat saya dulu-dulu, buah ini kategori buah yang glamour. Kalau masuk pertandingan, besar kemungkinan akan menjadi pesaing hebat si raja buah. Pada masa itu lah.
Kini, saya dapat rasakan, kebanyakan anak-anak kita, tidak pun mengenali, malahan tidak menyedari kewujudan buah ini. Saya tidak pandai makan buah asam renda ini begitu saja. Pada saya, sedapnya buah ini hanya jika ianya dibuat jeruk. Air jeruknya berwarna merah jambu. Hairan ya, dahulu tidak pulak terbatuk-batuk apabila menyedutnya. Sekarang, nak makan jeruk pun saya berfikir sepuluh kali, airnya apatah lagi.
Kisah buah asam renda ni bermula semasa saya di sekolah rendah. Allahyarham Pak Hussin adalah tukang kebun sekolah saya. Pokok asam renda tumbuh segar di halaman rumah beliau. Melihatkan buah yang begitu lebat, isteri Pak Hussin buatkan jeruk.Apabila tamat waktu persekolahan, saya dan rakan-rakan akan membeli sepeket dengan harga sepuluh sen. Sekejap sahaja Jeruk Buah Asam Renda ini habis terjual. Sungguh laris. Pakej banyak dan murah. Bonusnya tentulah kesedapan yang tidak terucap.
Kepada sesiapa yang belum pernah melihat atau mendengar, inilah buahnya. Dahulu, boleh dikatakan di setiap rumah akan ada pokok ini. Sekarang ini, susah pulak hendak mencarinya.
Nota: Di mana saya boleh dapatkan anak pokok ini ya? Sudah dua, tiga nursery saya pergi, semuanya menghampakan.